Mereka menang, tidak dicabar

RIUH rendah dalam kalangan ahli politik terutama musuh Pas yang seolah-olah ‘memperlekehkan keputusan’ pemilihan jawatan ‘Top 5’ sempena Muktamar Tahunan Pas ke-69 yang  dijadual berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini.

Banyak pihak yang dalam istilah politik, cuba ‘spin’ kenyataan atau pengumuman oleh Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan yang menyatakan tidak ada pertandingan bagi jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.

Dalam kalangan musuh Pas, ada yang cuba membandingkan pemilihan atau pertandingan di dalam UMNO yang mereka dakwa lebih ‘demokratik’ atau telus apabila hanya dua jawatan tidak dipertandingkan,  presiden dan timbalan presiden..

Malahan ada usul khas supaya jawatan No. 1 dan No. 2 tidak dipertandingkan manakala bagi tiga jawatan Naib Presiden UMNO pula terbuka dengan penyertaan lapan orang calon termasuk dua mempertahankan jawatan. Itu demokrasi UMNO.

Sebaliknya apabila tidak ada pertandingan, Pas digambarkan ‘lebih teruk’ daripada UMNO disebabkan tidak ada usul tiada pertandingan dibentang dan diluluskan Pas. Hakikatnya situasi pemilihan adalah berbeza antara Pas dan UMNO.

Begitulah politik kita, macam main pondok-pondok. Di mana ada kesempatan dan peluang, mereka  ‘spin’ untuk mencari keuntungan politik. Akhirnya mereka mengulas ‘berita palsu atau fitnah’ kerana lain dicakap, lain pula fahaman mereka.

‘Masalah’ sekarang apabila ada yang ‘tidak faham bahasa’ sehingga pihak di sebelah sana pula tumpang sibuk atau kalut. Lebih lucu ada pula yang kaitkan dengan istilah “kata dulang paku serpih mengata orang mereka yang lebih,”

Mungkin pihak berkenaan perlu memahami tatabahasa. Fahami istilah bahasa. Contohnya, tiada pertandingan, tidak ada pertandingan, tiada pencalonan, calon menarik diri, menang tanpa bertanding atau kekalkan jawatan. Hadam maksudnya.

Selak tidak bermaksud menegak benang yang basah atau mencari silap mana-mana pihak. Selak cuba menyelak kembali adakah sebelum ini pucuk pimpinan Pas mengisytiharkan lima jawatan utama itu tidak akan dipertandingkan?

Selak tidak menjumpai pengisytiharan itu atau sebarang arahan. Mungkin Selak terlepas pandang. Jika ada pengisytiharan itu, perlukah Pas mencontohi UMNO membentangkan usul supaya tidak ada pertandingan? Lain padang lain belalang.

Selepas berulang kali mendengar pengumuman Takiyuddin, ternyata bahawa pihaknya hanya menerima satu pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden manakala untuk naib presiden ada empat nama dicalonkan.

“Suka saya memaklumkan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden hanya ada satu pencalonan untuk mengekalkan jawatan yang ada, satu untuk presiden dikekalkan, satu untuk timbalan presiden manakala untuk jawatan naib presiden, tiga jawatan kita menerima empat pencalonan.

“Saya telah menerima pengesahan, salah seorang calon naib presiden menarik diri iaitu Menteri Besar Kedah, jadi tidak ada apa-apa pertandingan, mengekalkan barisan naib presiden yang ada,” katanya.

Begitulah kenyataan Takiyuddin yang menyebabkan mereka di luar Pas meroyan, gelabah bagaikan dilanda histeria kerana mudahnya Pas mengekalkan kepemimpinan yang ada. Tidak ada cabar mencabar, tidak ada usul.

Apabila tidak ada orang lain menawarkan diri, maka jawatan Presiden Pas kekal kepada Abdul Hadi Awang manakala Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Timbalan Presiden Pas.

Bagi Naib Presiden Pas pula apabila Muhammad Sanusi Md Nor menarik diri, maka ia kekal kepada penyandang, Ahli Parlimen Bagan Serai, Idris Ahmad; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohd Amar Abdullah dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mungkin bagi kebanyakan anggota Pas, tiada keperluan untuk menukar barisan kepemimpinan yang terbukti mengatur kejayaan cemerlang parti dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Kepemimpinan yang sama juga membawa kejayaan pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu serta prestasi lebih baik di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Lainlah jika Pas kecundang pada PRU dan PRN, maka tiba masa parti itu melakukan rombakan kepemimpinan, itu pun jika difikirkan sesuai kerana ada juga parti politik yang diaibkan terus memberi kepercayaan kepada pimpinan sedia ada walaupun kalah teruk.

Malahan ada kalangan pemimpin parti tertentu yang begitu bersemangat bercakap mahu meletak jawatan jika kecundang pada PRU tetapi dengan selamba masih mahu mempertahankan jawatan.

Cakap tetapi tidak buat apa yang dicakap atau cakap tidak serupa bikin sudah menjadi lumrah politik. Istilah politik sekarang ‘sembang kencang’.

Akhirnya tulisan ini bukanlah mahu menyebelahi mana-mana pihak tetapi sekadar pandangan supaya isu remeh seumpama ini tidak mengundang riuh rendah satu Malaya termasuk cerdik pandai kerana banyak isu lain yang perlu dibahaskan.

Related posts

Leave a Comment