2.352 juta dijangka guna KLK, LPT1

KUANTAN 4 Julai – Menjelang Hari Raya Aidiladha, sebanyak 2.352 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) bermula 8 hingga 11 Julai ini.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata pihaknya menjangkakan 1.648 juta kenderaan akan menggunakan KLK, manakala 704,000 lagi di LPT1.

Berdasarkan trend hujung minggu yang stabil sejak awal tahun ini, purata harian kenderaan pada hujung minggu di KLK adalah 161,000, manakala di LPT1 pula 65,000 kenderaan.

Bagi meningkatkan tahap kesediaan pada musim perayaan kali ini, ANIH menambah petugas sebagai persediaan pengaktifan lorong-lorong tambahan jika berlaku peningkatan trafik.

Dalam kenyataan media hari ini, syarikat percaya pengguna kini lebih cakna dengan persediaan yang diperlukan bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa dan selamat menjelang sambutan Aidiladha.

Perayaan Aidiladha adalah kali ketiga rakyat negara ini berpeluang pulang ke kampung halaman sejak negara memasuki fasa endemik tahun ini.

“Demi meningkatkan komitmen kami dalam menjamin keselesaan semua, Jadual Cadangan Perjalanan (TTA) tetap dikeluarkan sebagai peringatan di setiap musim perayaan,” katanya.

Maklumat terkini lebuh raya KLK dan LPT1 boleh layari laman sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook@Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT 1-700-818-700.

Related posts

Leave a Comment