KUALA LUMPUR 2 Nov. – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan terus di bawah bidang kuasa Parlimen bagi menjamin tahap ketelusan, kebebasan, dan integriti institusi tersebut tanpa campur tangan politik daripada pihak eksekutif.
Di samping itu, lanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM selepas umur persaraan wajib hendaklah dihadkan kepada sekali sahaja, bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa, pengaruh politik, dan memastikan kepemimpinan badan pencegah rasuah sentiasa segar, bebas, serta berkhidmat atas prinsip keadilan dan integriti
Gesaan itu adalah antara 14 usul Ucapan Dasar Presiden Dr Ibrahim Ali yang dibentangkan pada Persidangan Agung Tahunan Putra Keenam di Wisma Sejarah dekat sini hari ini.
Usul dicadang oleh Ketua Bahagian Kota Raja Norshahrizal Nordin dan disokong oleh Ketua Wira Putra Dr. Mohamad Izwan Zainal.
Putra juga mendesak pemisahan peranan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya disegerakan bagi menjamin prinsip keadilan dan kebebasan kehakiman.
Di bawah cadangan ini, Peguam Negara hendaklah berperanan sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan, manakala Pendakwa Raya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pendakwaan kes jenayah tanpa campur tangan politik.
Langkah ini penting bagi memastikan sistem perundangan negara bebas daripada pengaruh eksekutif, mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi keadilan, serta memperkukuh integriti dan kebebasan badan kehakiman di Malaysia.
Usul lain adalah:
MENCADANGKAN agar Akta Anti-Nepotisme dan Kronisme digubal bagi menghalang penyalahgunaan kuasa dan amalan pilih kasih dalam pentadbiran kerajaan. Melarang ahli politik kerajaan melantik ahli keluarga atau individu berkepentingan dalam agensi, jabatan, mahupun kementerian di bawah kawalannya. Pelantikan jawatan awam mestilah dilaksanakan melalui proses terbuka dan telus di bawah kelolaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), tanpa sebarang pengaruh atau campur tangan politik. Langkah ini diyakini dapat memperkukuh integriti pentadbiran serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap tadbir urus negara.
MENDESAK agar undang-undang berkaitan rasuah dipinda dan diperketat bagi memastikan tindakan pencegahan yang lebih berkesan dan memberi kesan kepada pesalah. Pindaan tersebut hendaklah meliputi pelaksanaan hukuman penjara mandatori serta hukuman sebat, tertakluk kepada tahap dan keseriusan kesalahan yang dilakukan. Pendekatan tegas ini bertujuan untuk mengekang amalan rasuah secara menyeluruh, memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan, serta memberi mesej yang jelas bahawa rasuah adalah jenayah besar yang tidak akan dikompromi dalam mana-mana lapisan masyarakat.
MENDESAK agar 41 kes berprofil tinggi, melibatkan ahli politik dan diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action) atau KIV (Keep in View) disemak semula dan dibuka kembali untuk siasatan serta pendakwaan. Kes-kes tersebut perlu dibawa ke mahkamah bagi menentukan kewujudan kes prima facie dan tidak seharusnya digugurkan secara sepihak oleh Pejabat Peguam Negara tanpa penelitian kehakiman yang adil dan telus. Langkah bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap keutuhan sistem perundangan, memastikan prinsip rule of law ditegakkan, serta menegaskan bahawa tiada sesiapa pun, termasuk ahli politik berada di atas undang-undang.
MENCADANGKAN reformasi menyeluruh terhadap pelantikan ahli Jawatankuasa Pemilihan Hakim (Judicial Appointments Committee) bagi menjamin kebebasan dan integriti badan kehakiman negara. Putra mahu 50 peratusdaripada keanggotaan jawatankuasa tersebut hendaklah dicadangkan oleh Majlis Raja-Raja Melayu, manakala bakinya dicadangkan oleh Ketua Hakim Negara melalui rundingan bersama Hakim-Hakim Besar. Selain itu, Perdana Menteri tidak seharusnya mempunyai sebarang kuasa campur tangan dalam proses pelantikan ini, bagi memastikan sistem kehakiman benar-benar bebas daripada pengaruh politik dan kekal berasaskan prinsip keadilan serta kedaulatan undang-undang.
MENGGESA penyelarasan terhadap skim pencen ahli politik yang pernah berkhidmat dengan kerajaan di mana setiap individu hanya wajar menerima satu pencen, iaitu pada kadar tertinggi, dan tidak berganda. Semakan semula perlu dilakukan ke atas elaun, gaji dan segala bentuk imbuhan bagi semua ahli politik, termasuk ADUN, Ahli Parlimen, Senator, Exco, Timbalan Menteri, Menteri dan Perdana Menteri. Putra turut mencadangkan pengurangan sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah keseluruhan imbuhan semasa, memandangkan kadar sedia ada dilihat terlalu berlebihan, khususnya bagi individu yang memegang pelbagai jawatan serentak dalam agensi kerajaan. Langkah ini diyakini dapat memupuk keadilan sosial, mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi, serta memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan dan integriti kepimpinan negara.
MENCADANGKAN agar mana-mana individu yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah dan dikenakan hukuman denda RM2,000 atau lebih, atau hukuman penjara selama satu (1) tahun atau lebih, dilarang daripada bertanding dalam pilihan raya atau memegang sebarang jawatan awam untuk tempoh lima tahun selepas menjalani atau menyempurnakan hukuman tersebut. Larangan ini hendaklah kekal berkuat kuasa walaupun individu berkenaan telah menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu, demi menjamin integriti dan keyakinan rakyat terhadap sistem politik dan pentadbiran negara.
PUTRA juga menolak dan menggesa agar Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan 2025 dikaji semula kerana memberi kuasa terlalu luas kepada Menteri Kewangan, sekali gus meningkatkan risiko penyalahgunaan dan ketirisan tanpa semak imbang bebas. RUU ini juga gagal mewajibkan pendedahan tender secara terbuka, menimbulkan konflik kepentingan apabila Kementerian Kewangan bertindak sebagai pelaksana dan penguat kuasa, serta menubuhkan tribunal yang tidak bebas. Selain itu, ia mengabaikan perlindungan terhadap vendor tempatan dan dasar Bumiputera, serta memusatkan kuasa perolehan di tangan kerajaan pusat. Putra menegaskan RUU ini mesti disemak semula demi ketelusan, akauntabiliti, dan keadilan sosial dalam sistem perolehan negara.
MENGGESA agar Agenda Ekonomi Bumiputera dijadikan dasar utama negara dalam pembangunan ekonomi nasional, selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kepentingan istimewa kaum Bumiputera. Langkah ini wajar diberi keutamaan kerana Bumiputera masih jauh ketinggalan dari segi penguasaan ekonomi, pemilikan aset, dan peluang korporat walaupun merupakan majoriti rakyat Malaysia. Putra menegaskan bahawa pemberdayaan ekonomi Bumiputera perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan strategik, melalui dasar yang adil, telus dan berkesan, agar kekayaan negara dapat diagih secara seimbang serta memperkukuh kestabilan sosioekonomi negara.
MENOLAK Belanjawan 2026 kerana ia gagal berfungsi sebagai pelan pemulihan ekonomi yang sebenar, tidak membela rakyat marhaen secara mampan, serta mengulangi kesilapan pendekatan kosmetik dan populis tanpa keberanian untuk melaksanakan reformasi struktur yang menyeluruh. Kerajaan perlu mengemukakan semula belanjawan yang lebih telus, produktif, dan berpaksikan reformasi ekonomi sebenar, bukan sekadar menabur bantuan sementara yang mengekalkan rakyat dalam kitaran kebergantungan dan menambah beban hutang negara. Langkah ini penting bagi memastikan belanjawan negara benar-benar menjadi instrumen pembangunan ekonomi yang adil, lestari dan berpihak kepada kesejahteraan rakyat.
MENCADANGKAN agar kadar cukai ke atas semua bentuk perjudian dinaikkan ke tahap maksimum sebagai langkah membendung gejala sosial serta meningkatkan hasil negara melalui sumber yang tidak membebankan rakyat. Putra berpendirian bahawa hasil cukai daripada sektor perjudian ini hendaklah disalurkan khusus kepada program pendidikan dan pembangunan masyarakat bukan Bumiputera, manakala biasiswa serta bantuan pendidikan kerajaan perlu dikekalkan khusus untuk Bumiputera selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Langkah ini diyakini dapat memupuk keseimbangan peluang pendidikan antara kaum, di samping mengekalkan hak istimewa Bumiputera seperti yang dijamin Perlembagaan.
MENUNTUT agar Mahkamah Syariah dinaik taraf dan diperkasakan setara dengan Mahkamah Sivil, sejajar dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah hendaklah diiktiraf sebagai muktamad, berautoriti, dan tidak boleh dicabar atau dibatalkan oleh Mahkamah Sivil. Langkah ini penting bagi memastikan kedaulatan undang-undang Islam dihormati sepenuhnya, memperkukuh integriti institusi kehakiman Syariah, serta menghapuskan pertindihan bidang kuasa yang sering menjejaskan keadilan dan maruah sistem perundangan Islam di negara ini.
MENUNTUT agar kerajaan menunjukkan komitmen politik sepenuhnya dalam pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan sebagai asas pembinaan jati diri nasional. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti digunakan sepenuhnya di semua sekolah dalam sistem pendidikan negara, termasuk sekolah bantuan kerajaan dan institusi swasta yang berdaftar, bagi memastikan keberkesanan dasar ini. Langkah ini amat penting bagi memperkukuh perpaduan nasional, memelihara identiti negara, dan memastikan generasi muda memiliki kefahaman serta kebanggaan terhadap bahasa kebangsaan sebagai simbol kedaulatan dan penyatuan rakyat Malaysia.
Nnn
