Adibah Noor meninggal dunia

KUALA LUMPUR 18 Jun – Penyanyi lagu Terlalu Istimewa, Adibah Noor, 52, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, pukul 7.30 malam ini.

Berita duka disahkan rakan artis, Emylia Rosnaida yang juga isteri kepada AC Mizal menerusi laman Facebook.

“Ya, betul arwah baru sahaja meninggal dunia di hospital sebentar tadi,” katanya yang dalam perjalanan ke pusat perubatan swasta itu.

Mengikut sumber, Allahyarham Adibah atau nama sebenarnya, Adibah Noor Mohd Omar menghidap kanser ovari dan kini berada pada tahap empat, namun, merahsiakannya.

Selebriti dengan nama sebenar Adibah Noor Mohamed Omar itu pada minggu lalu, namanya kembali menjadi tajuk utama portal hiburan setelah tersebar gambar terbarunya yang kelihatan mengalami pengurangan berat badan.

Namun, dalam temu bual bersama wartawan, Adibah hanya memberitahu perubahan ketara berkenaan adalah disebabkan amalan pemakanannya, iaitu dengan memilih diet yang lebih sihat semenjak bulan Ramadan lalu.

Melalui Twitter pada Isnin lalu, antara perkongsian terakhir Allahyarham Adibah adalah “Kerana aku sendiri dalam keadaan yang memerlukan,”.

Bagaimanapun penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu, pada ketika itu tidak memaklumkan tentang keadaannya yang menderita kanser Ovari tahap empat.

“Maaf, kali ini aku tak dapat tolong. Moga Allah permudahkan urusan mu,” tulisnya.

Arwah pada masa yang sama sempat membalas komen pengikut dan peminatnya di ruangan tersebut.

“Semoga Allah perkenankan, terima kasih atas doa kamu,” kata Adibah.

Terdahulu, arwah sempat menulis ciapan terakhir, mengucapkan salam takziah buat pelakon legenda Hamid Gurkha yang meninggal dunia Rabu lalu.

“Moga roh Pak Hamid ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” tulis arwah.

Kemunculan awal Allahyarham di layar perak bermula pada tahun 2005 melalui filem seperti Sepet, Gubra dan Mukhsin karya sutradara Yasmin Ahmad, dan sejak itu beliau membuat kemunculan dalam puluhan drama televisyen dan filem tempatan.

Dalam dunia nyanyian, beliau sempat merakamkan dua buah album studio iaitu Terlalu Istimewa (2005) dan Teman (2010), selain turut merakamkan banyak single khas, termasuk duet bersama penyanyi lain.

Sepanjang hayatnya juga, Adibah dikenali sebagai individu yang senang mendekati pengikut dan peminatnya menerusi platform media sosial. Allahyarham antara lain diingati sebagai figura umum yang suka mendidik berkaitan penguasaan bahasa Inggeris, selain berkongsi cerita seni persembahan dan kesedaran menjaga alam sekitar serta haiwan terutamanya kucing.

Related posts

Leave a Comment