SEPANG 27 Feb. – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa kerajaan menggubal segera satu Akta khas bagi memastikan hukuman mandatori dikenakan terhadap pesalah yang menghina al-Quran.
Ketua Penerangannya Shahrulufti Sharif berkata, sebagai langkah pencegahan dan pengajaran yang keras, hukuman mandatori yang dicadangkan adalah 20 kali sebatan dan penjara seumur hidup.
“Putra mengecam sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang berani menghina al-Quran dengan tindakan biadab seperti memijak, membakar atau membuang kitab suci itu ke dalam longkang, parit, paya mahupun sungai.
Perbuatan ini adalah penghinaan melampau terhadap agama Islam dan tidak boleh dibiarkan sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan.
Putra percaya hanya dengan undang-undang yang tegas dan hukuman berat, maruah serta kesucian al-Quran dapat dipertahankan, dan perbuatan biadab ini dapat dibanteras sepenuhnya.
Terdahulu, Dewan Pemuda Pas Selangor turut mengecam tindakan seorang pelajar di Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah yang memijak al Quran yang disifatkan penghinaan terbuka terhadap kitab suci umat Islam.
Ketuanya Mohamed Sukri Omar berkata, undang undang sedia ada mungkin tidak lagi memadai untuk menangani penghinaan terbuka terhadap Islam yang semakin berani dan provokatif.
Justeru Kerajaan Persekutuan mesti mempertimbangkan penggubalan rang undang undang yang lebih tegas dan khusus terhadap penghinaan agama Islam, selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Undang undang tersebut perlu memperincikan bentuk kesalahan, memperkemas takrif penghinaan serta memperuntukkan hukuman yang lebih berat dan jelas sebagai pencegahan.
“Jika insiden seperti ini tidak ditangani dengan hukuman yang benar benar tegas, ia akan menjadi precedent berbahaya dan membuka ruang kepada penghinaan agama yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya.
Beliau juga menuntut tindakan yang keras dan tidak berkompromi dari pihak berkuasa dan Pemuda Pas Selangor sedia menggerakkan bantahan awam besar-besaran mengikut akta perhimpunan awam sekiranya isu ini tidak diselesaikan dengan tegas.
