JOHOR BAHRU 13 Jun – Mulai hari ini, saf solat berjemaah di masjid dan surau seluruh negeri ini dirapatkan, bukan lagi mengikut saiz sejadah, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid.
Bagaimanapun katanya, jemaah masih digalakkan membawa sejadah sendiri dan tidak digalakkan bersalaman, manakala pemakaian pelitup muka dikekalkan.
Aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti kelas pengajian takmir, subuh dan dhuha, majlis zikir dan seumpamanya juga dibenarkan, begitu juga aktiviti memasak dan jamuan dalam kawasan masjid serta surau termasuk aktiviti bermalam.
“Tiada pemeriksaan suhu badan dan tiada had umur jemaah hadir ke masjid dan surau, namun sekiranya mempunyai gejala adalah tidak digalakkan. Majlis perkahwinan juga dibenarkan bagi masjid dan surau yang mempunyai dewan serbaguna,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata, kebenaran itu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagaimana peruntukan Fasal 57 (A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.
Pada 28 Mac lalu, Johor membenarkan solat berjemaah di masjid dan surau dengan cara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah yang ketika itu diminta membawa sendiri sejadah berukuran sekurang-kurangnya satu meter panjang dan 0.6 meter lebar serta lengkap dua dos suntikan vaksin.
Program membudayakan al-Quran, kuliah umum, kuliah khas, kuliah dhuha, kuliah zuhor dan kuliah Jumaat, kelas takmir, kelas al-Quran, taklimat, kursus, forum, majlis zikir, majlis selawat, wirid dan tarikat juga dibenarkan dengan tidak melebihi tempoh dua jam.
