RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menerima permohonan lebih dari 390,000 penduduk tempatan dan ekspatriat yang tinggal di negara itu untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.
Penolong Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Hesham Saeed, berkata pendaftaran permohonan telah ditutup dan nama yang terpilih akan diumumkan selepas cabutan dibuat tidak lama lagi.
Difahamkan, nama-nama yang berjaya akan diumumkan pada hari Rabu ini dan dianggarkan 150,000 orang akan dipilih.
Beliau berkata, pemilihan calon akan dilakukan secara e-cabutan dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang belum menunaikan haji sebelum ini.
“Proses pengasingan dan e-cabutan akan bermula untuk memilih calon daripada jemaah haji yang memenuhi syarat yang telah diumumkan kementerian sebelum ini,” kata Saeed, yang juga penolong timbalan menteri haji dan umrah.
Jemaah yang berjaya dalam permohonan mereka akan menerima pengesahan melalui mesej teks pada peranti berdaftar mereka dan diberi masa 48 jam untuk menyelesaikan pembayaran yuran pakej terpilih, sebelum permit haji dikeluarkan.
Kementerian juga telah menurunkan harga bagi tiga pakej hospitaliti musim haji tahun ini.
Media tempatan melaporkan, keputusan kementerian pada Khamis lalu mendedahkan pakej pertama (Hospitality Upgraded Camps) kini berharga 9,098 Riyal Saudi (RM10,674.09), berbanding harga awal 10,238 Riyal Saudi (RM12,011.58).
Harga baharu bagi pakej dua (Hospitality Upgraded Camps) kini akan menjadi 11,970 Riyal Saudi (RM14,043.62), berbanding 13,043 Saudi Riyal (RM15,302.50).
Selain itu, harga potongan untuk pakej ketiga (Hospitality Mina Towers) ditetapkan pada 13,943 Saudi Riyal (RM16,358.42) berbanding 14,737 Saudi Riyal (RM17,289.96) sebelum ini.
Semua harga tidak termasuk cukai nilai tambah dan tidak termasuk pengangkutan darat atau udara ke dan dari Makkah, kata kementerian itu.
Pendaftaran dibuka untuk jemaah haji domestik pada awal Jun melalui aplikasi Eatmarna dan melalui laman web kementerian.
Kementerian menetapkan bahawa mereka yang ingin mendaftar haji, sama ada pemastautin atau warganegara, hendaklah berumur tidak melebihi 65 tahun, dan menunjukkan imunisasi lengkap dalam aplikasi Tawakkalna.
