Zafrul ‘poster boy’ BN Selangor?

SUNGAI BESAR 13 Jun – UMNO Bahagian Sungai Besar mencadangkan supaya Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadikan ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) Selangor untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketuanya,  Jamal Md Yunos, berkata parti itu memerlukan lebih ramai pemimpin muda, berkalibar dan diyakini rakyat yang mampu menawarkan perubahan luar biasa di Selangor, lebih-lebih lagi dalam kalangan menteri Kabinet.

Mengambil contoh kejayaan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, beliau berkata, kemenangan di Melaka dan Johor itu membuktikan calon baharu, segar dan bebas kontroversi menjadi pilihan pengundi.

“Tengku Zafrul antara nama pemimpin yang disebut-sebut, malah sudah turun padang beberapa kali menyantuni rakyat di Kuala Selangor.

“Jika kehadiran anak kelahiran Kuala Selangor itu boleh diterima baik Pengerusi UMNO Selangor (Tan Sri Noh Omar), apa salahnya beliau dijadikan ‘poster boy’ BN Selangor pada PRU-15 akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yakin Tengku Zafrul yang mempunyai latar belakang korporat dan perbankan mampu membela kebajikan rakyat.

Jamal menegaskan, formula sama boleh diguna pakai BN dalam PRU-15 dengan mengetengahkan calon muda, baharu dan sesuai dengan kehendak semasa.

Katanya, masyarakat mula memberi kepercayaan kepada BN yang menawarkan manifesto mampu dilaksanakan, iaitu kestabilan politik dalam pentadbiran kerajaan.

Related posts

Leave a Comment