PUTRAJAYA 27 Feb. – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) melantik bekas Pengarah Tourism Malaysia untuk India, P Manoharan, sebagai Ketua Pengarahnya yang baharu, berkuat kuasa semalam.
Bagaimanapun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung perlantikan Manoharan, kecuali perkongsian poster ucapan tahniah oleh Lembaga Pengarah, Pengurusan dan kakitangan lembaga itu yang disiarkan menerusi Facebook.
Manoharan sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa (Asia dan Afrika) di Tourism Malaysia.
Beliau berkhidmat selama tiga penggal sebagai Pengarah Tourism Malaysia untuk India, dan dilaporkan memainkan peranan penting dalam penubuhan pejabat Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan pertama di Mumbai pada tahun 2001.
Perlantikan Manoharan susulan tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, mengambil langkah menamatkan perkhidmatan penyandang jawatan itu, Dr Ammar Abd Ghapar.
King Sing sebelum ini menjelaskan Ammar diturunkan pangkat daripada jawatan Ketua Pengarah kerana gagal mencapai prestasi kerja yang ditetapkannya.
Pada Jumaat, Ammar yang dilantik sebagai Ketua Pengarah sejak April tahun lalu, mengesahkan kepada media mengenai surat pemecatan dikeluarkan oleh menteri terhadapnya, sambil meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan itu selepas berkhidmat selama 36 tahun dalam industri pelancongan.
Ammar yang dijadualkan bersara pada Mac tahun depan, menegaskan sebagai kakitangan kerajaan yang telah lama berkhidmat, beliau sentiasa melakukan tugas mengikut prosedur dan tatacara betul.
