Kes harian meningkat di Brunei

BERAKAS 13 Jun – Sebanyak 518 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini iaitu 513 kes hasil ujian ART dan lima kes hasil dari 643 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Menteri Kesihatan, Dr.  Md. Isham Jaafar berkata, dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam setakat ini ialah sebanyak 153,611 kes.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam (NBD) petang ini, beliau memberitahu, satu kes  dikategorikan dalam Kategori 5 iaitu yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU).

Manakala, satu kes sedang berada di Kategori 4 iaitu mereka yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Sebanyak 317 kes disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 150,550 kes manakala kes aktif pula sebanyak 2,836 kes iaitu 23 kes sedang dirawat di hospital manakala 2,813 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Oleh kerana semua pusat vaksinasi tidak beroperasi semalam, statistik terkini program vaksinasi kekal seperti yang dinyatakan dalam sidang media,12 Jun 2022 iaitu jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun ialah 83.9 peratus dan 67.5 peratus bagi dos kedua.

Dalam pada itu, liputan bagi rakyat dan penduduk negara ini yang telah mendapatkan tiga dos vaksin kekal sebanyak 71.8 peratus.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa pemberian vaksin penggalak kedua Covid-19 kini dibukakan secara sukarela bermula 15 Jun 2022.

Pemberian vaksin itu meliputi mereka dalam kategori  orang dewasa berumur 80 tahun ke atas,  60 tahun ke atas yang menghidap penyakit kronik, 18 tahun ke atas yang mempunyai keadaan imunokompromi dan pekerja penjagaan kesihatan dan pekerja barisan hadapan yang terdedah kepada risiko jangkitan yang tinggi.

Pemberian dos penggalak kedua Covid-19 ini boleh didapati di mana-mana pusat suntikan tertentu sahaja dan hanya akan diberikan setelah lima bulan selepas dos penggalak pertama Covid-19 diperoleh.

“Orang ramai yang memenuhi kriteria-kriteria di atas adalah dialu-alukan untuk mendapatkan dos tambahan ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment