SEPANG 7 Ogos – “Kita Berhenti”, itu hantaran ringkas Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Terengganu, Razali Idris menerusi Facebooknya hari ini.

Hantaran itu merujuk keputusannya meletak jawatan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, di samping dua lagi pimpinan negeri parti itu mengumumkan peletakan jawatan masing-masing hari ini.

Difahamkan Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pada 16 Julai lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini tiada maklum balas diterima daripada pihak pimpinan tertinggi berkaitan surat peletakan jawatan itu.

Beliau juga akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Marang pada pertengahan bulan ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail pula melepaskan jawatan Ketua Penerangan, manakala ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin mengumumkan peletakan jawatan Bendahari parti.

Mohd Zawawi dan Mohd Husaimi dilaporkan akan menghantar surat rasmi kepada kepemimpinan Bersatu mengenai pengunduran mereka.

Bagaimanapun, Razali, Mohd Zawawi dan Mohd Husaimi berkata, mereka masih kekal sebagai ahli parti dan hanya meletak jawatan dalam badan pimpinan negeri.

Nnn

Related posts

Leave a Comment