Bersih gesa Najib jalani hukuman penuh

SEPANG 3 Feb. – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak dilaksanakan secara penuh sama seperti rakyat biasa yang melakukan kesalahan jenayah.

Dalam kenyataannya, Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, walaupun Lembaga Pengampunan mempunyai hak perlembagaan memberi pengampunan, keputusan itu akan memberi kesan kepercayaan rakyat berhubung sistem keadilan negara.

Menurutnya, negara tidak boleh memberi isyarat bahawa pemimpin politik yang melakukan kesalahan dan disabitkan bersalah mengambil jalan pintas untuk bebas daripada sebarang hukuman.

“Mengapakah kes Najib Razak diberikan keutamaan untuk dipertimbangkan sedangkan hari ini masih ramai mereka yang dipenjara khususnya dari kalangan rakyat yang masih menunggu peluang untuk mendapatkan ruang pengampunan?

“Berdasarkan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan seolah-olah ada undang-undang dua darjat untuk orang biasa dan orang atasan.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2022 jelas menunjukkan Najib telah merompak wang negara dan kami tidak melihat kewajaran untuk mengurangkan hukuman penjara mahupun denda yang disabitkan,” kata Bersih pada Sabtu.

Pada Jumaat, Lembaga Pengampunan mengumumkan untuk membebaskan Najib lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Kenyataan yang dikeluarkan Urusetia Lembaga Pengampunan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri itu turut memaklumkan, Lembaga Pengampunan turut mengurangkan denda yang perlu dibayar Najib iaitu hanya RM50 juta berbanding RM210 juta sebelum ini.

Dalam pada itu Bersih meminta Lembaga Pengampunan mengemukakan alasan pengurangan hukuman kerana kesalahan yang dilakukan oleh bekas Ahli Parlimen Pekan itu melibatkan penyelewengan wang negara yang berjumlah jutaan ringgit.

Pada masa yang sama, Bersih juga menarik perhatian bahawa, pada 2022 seramai 150,000 rakyat Malaysia menandatangani petisyen yang menolak pembebasan Najib atau mana-mana pemimpin politik yang disabitkan kesalahan rasuah dan pecah amanah.

“Bersih juga menuntut pihak Peguam Negara dan Kerajaan Persekutuan menetapkan polisi untuk menghentikan pemberian DNAA – melepas tanpa membebaskan – kepada kes-kes rasuah yang sedang dibicarakan khususnya melibatkan ahli politik, sementara menanti pindaan undang-undang untuk memisahkan peranan dan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment