8 muka baharu sertai Exco Negeri Sembilan

KUALA PILAH 7 Ogos – Siow Kong Choon, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah yang menewaskan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke adalah antara 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang dilantik bagi penggal baharu hari ini.

Beliau juga antara lapan muka baharu yang dilantik manakala dua ADUN lagi yang dikekalkan dalam barisan Exco ialah ADUN Linggi, Mohd Faizal Ramli dan ADUN Palong, Mustapha Nagoor, kedua-duanya mewakili Barisan Nasional (BN).

Selain Choon, lima lagi yang mewakili BN adalah ADUN Chembong Zaifulbahri Idris; Siti Nur Umaira Hasim (Labu), Mohd Asna Amin (Lenggeng), Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui) dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).

Dua lagi mewakili Perikatan Nasional (PN) iaitu Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan  Razali Abu Samah (Sikamat).

Barisan ADUN itu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.

Berangkat ke istiadat itu ialah Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz serta Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.

Istiadat itu turut dihadiri Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid serta Menteri Besar, Ismail Lasim.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat tujuh kerusi yang membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Foto Jabatan Penerangan Negeri Sembilan

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment