Penduduk bantah keganasan senjata api

WASHINGTON: Penduduk di beberapa bandar di Amerika Syarikat (AS) mengadakan tunjuk perasaan menentang keganasan senjata api pada Sabtu selepas beberapa siri tembakan besar-besaran sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Selain di ibu negara AS, tunjuk perasaan juga berlaku di New York, Los Angeles, Chicago, Boston dan bandar-bandar lain.

Tunjuk perasaan itu dianjurkan pertubuhan March For Our Lives, yang diasaskan pelajar yang terselamat daripada kejadian serangan beramai-ramai di sebuah sekolah di Parkland, Florida pada 2018.

Tindakan itu susulan insiden tembakan terbaharu di sekolah rendah di Uvalde, Texas dan serangan bersenjata yang bersifat perkauman di Buffalo, New York.

Menurut Arkib Keganasan Senjata, sekurang-kurangnya 255 insiden tembakan besar-besaran terjadi di AS tahun ini.

Di Washington DC, penunjuk perasaan berkumpul di kawasan National Mall, dengan membawa sepanduk tertera perkataan “Kawal senjata api sekarang,” “Tamatkan keganasan senjata api,” “Cukup setakat ini,” dan “Lindungi kanak-kanak bukan senjata api.”

Datuk Bandar Muriel Bowser kerika menyampaikan ucapan kepada orang ramai di sekitar Monumen Washington, meminta Kongres melaksanakan undang-undang senjata api “yang masuk akal” untuk memerangi keganasan senjata api.

Presiden AS Joe Biden berulang kali menggesa Kongres supaya meluluskan undang-undang senjata api lebih ketat bagi mengurangkan keganasan di seluruh negara.

Sebelum ini Dewan Rakyat meluluskan “Akta Perlindungan Kanak-Kanak”, bertujuan mencegah keganasan senjata api.

Rang undang-undang itu mensyaratkan had umur yang dibenarkan membeli senapang automatik dinaikkan daripada 18 kepada 21 tahun.

Related posts

Leave a Comment