Kumpulan pertama jemaah haji ke Madinah

SEPANG 4 Jun – Kumpulan pertama 295 jemaah menjadi kumpulan haji pertama Malaysia bagi musim 1443H/2022 berlepas ke Tanah Suci hari ini.

Penerbangan pertama hari ini berlepas pukul 1.35 tengah hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dengan menggunakan penerbangan Saudi Airlines.

Penerbangan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah pada pukul 4.55 petang (waktu Arab Saudi).

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, meluangkan masa menyantuni jemaah terpilih mengerjakan rukun Islam kelima itu dalam satu majlis mengucapkan selamat jalan di Pusat Konvensyen Movenpick di sini pagi ini.

Hadir sama Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Idris Ahmad dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Amrin Awaluddin, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan.

Sementara itu Amrin dalam kenyataannya, berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang bersetuju meneruskan semula projek ‘Makkah Route’ untuk memudahkan proses pra-pelepasan pemeriksaan Jabatan Imigresen dan kastam di KLIA.

“Jemaah Malaysia tidak perlu lagi melalui proses imigresen semasa tiba di Arab Saudi dan boleh menaiki bas terus ke hotel penginapan masing-masing dan ini menjimatkan masa semua jemaah,” katanya.

Pada tahun ini, sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan Saudi Airlines yang akan membawa jemaah haji negara seramai 14,306 orang ke Tanah Suci.

Bagi kuota jemaah, TH memberi keutamaan kepada bakal haji yang tersenarai menunaikan ibadat itu pada tahun 2020, diikuti 2021 serta seterusnya, berdasarkan sistem pendaftaran berasaskan prinsip sebelum ini dalam memenuhi kuota jemaah yang diterima tahun ini.

Related posts

Leave a Comment