Covid-19 berakhir tahun depan?

COPENHAGEN: Pandemik Covid-19 akan merebak pada 2021 tetapi lebih terkawal berbanding tahun lalu malahan dijangka berakhir pada awal tahun depan, kata Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah Hans Kluge.

Beliau menyifatkan situasi terburuk kini berakhir dan terdapat lebih banyak maklumat mengenai virus ini berbanding pada peringkat awal penularan.

Bercakap kepada saluran penyiaran Denmark, DR pada Ahad, beliau bagaimanapun mengingatkan tidak ada sesiapapun yang dapat mengetahui keadaan pandemik itu pada masa depan.

“Virus ini akan terus wujud, tapi saya berpendapat ia tidak lagi memerlukan sekatan. Ini adalah mesej yang optimis,” katanya.

Kluge berkata mutasi adalah perkara biasa dan virus itu sedang menyesuaikan diri dengan individu yang dijangkiti, yang menjadi kebimbangan ialah penularan mutasi yang pantas. 

Menurutnya, WHO memantau rapat keberkesanan vaksin Covid-19 yang dibangunkan untuk melawan jenis virus yang pantas merebak itu.

Jika perlu, katanya vaksin dapat diubah berdasarkan mutasi baru dan tidak perlu membangunkannya dari mula.

Beliau berkata mutasi tidak akan menjadikan virus itu tidak terkawal tetapi ia akan memberi lebih tekanan kepada negara-negara yang sistem penjagaan kesihatannya sudah di tahap sukar.

Katanya, masalah terbesar akan muncul apabila mereka yang disuntik vaksin berada di kelompok sama dengan golongan yang tidak diberi vaksin kerana itu faktor penjadualan memainkan peranan sangat penting.

Related posts

Leave a Comment