379 kes baharu di Brunei Darussalam

BERAKAS 4 Jun  – Brunei Darussalam hari ini sekali lagi merekodkan peningkatan kes baharu Covid-19 dengan merekodkan 379 berbanding 342 semalam menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 150,058.

Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar berkata, sebanyak 377 kes itu adalah hasil Ujian ART manakala dua kes lagi hasil daripada 196 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, dua kes direkodkan dalam Kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Tiada kes dilaporkan bagi Kategori 5, iaitu mereka yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU).

Beliau memberitahu , sebanyak 242 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 147,827 manakala jumlah kes aktif sebanyak 2,008 iaitu lapan sedang dirawat di hospital, manakala 2,000 sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu semalam, sebanyak 16 dos pertama vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang membawa kepada 81.8 peratus.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 71  dos kedua diberikan kepada kanak-kanak pada usia berkenaan menjadikan 53.4 peratus menerima dua dos manakala 70.9 peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment