Tiga jemaah pertama positif Covid-19

SEPANG 4 Jun – Tiga daripada 298 jemaah haji kumpulan pertama ke Tanah Suci bagi musim 1443H/2022, disahkan positif Covid-19, kata Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata individu disahkan positif itu sudah memaklumkan lebih awal keputusan ujian saringan RT-PCR Covid-19 mereka kepada TH.

“TH menasihati mereka supaya melalui proses atau prosedur ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM). Mereka perlu menjalani proses kuarantin dan selepas itu apabila tiada lagi apa-apa simptom, mereka boleh mendapatkan nasihat pihak hospital atau doktor dan menjalani ujian PCR sekali lagi.

“Jika keputusan ujian PCR mereka itu negatif dan penerbangan masih ada, TH akan cuba sedaya upaya mendapatkan tempat untuk mereka menunaikan haji,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia yang dihadiri Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob, di sini, hari ini.

Syed Saleh berkata, TH berharap bakal jemaah haji bagi penerbangan seterusnya juga teliti berhubung pengambilan ujian PCR Covid-19.

“Dalam tempoh 56 jam sebelum melapor diri di stesen berlepas, jika ada jemaah yang positif, hendaklah segera memaklumkan TH supaya kami dapat membuat perancangan seterusnya,” katanya.

Ditanya apa yang perlu dilakukan jika salah seorang daripada pasangan jemaah positif Covid-19, beliau berkata, terpulang kepada pasangan terbabit sama ada salah seorang mahu meneruskan perjalanan atau menunggu pasangannya sembuh.

“Kalau pergi berasingan, akan ditempatkan di hotel berasingan, jadi itu mungkin akan menimbulkan sedikit kerumitan ketika berada di sana,” katanya yang turut memaklumkan penerbangan terakhir jemaah ke Tanah Suci ialah pada 3 Julai depan.

Related posts

Leave a Comment