Imran berjaya masuki Islamabad

ISLAMABAD 26 Mei –  Walaupun cuba dihalang oleh kerajaan, bekas Perdana Menteri Pakistan yang disingkirkan, Imran Khan tiba di Islamabad hari ini bersama ribuan penyokongnya bagi menghadiri perarakan besar-besaran.

Lebih dramatik, Imran menyertai tunjuk perasaan itu dengan tiba menaiki helikopter dan mendarat di atas jalan raya yang dipenuhi penyokongnya di luar bandar Mardan, 100 kilometer di barat laut Islamabad.

Konvoinya disertai sekitar 25,000 penyokong, bermula di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, dan bergerak di atas jalan raya sebelum tiba ke Islamabad sekitar tengah malam tadi.

Sejak disingkirkan menerusi undi tidak percaya bulan lalu, bintang kriket yang menjadi ahli politik itu meningkatkan tekanan terhadap gabungan baharu kerajaan yang rapuh dengan mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran dan mendakwa beliau disingkirkan kerana ‘konspirasi asing’.

Dalam pertembungan utama dengan pesaingnya, Imran menggesa penyokong parti Tehreek-e-Insaf Pakistan (PTI) berkonvoi ke Islamabad dan duduk bantah sehingga pilihan raya baharu diumumkan.

“Saya ingin mengingatkan anda semua apa yang kita lakukan adalah jihad, bukan politik. Ini pergelutan kita untuk mencapai kebebasan sebenar,” katanya dalam satu mesej video.

Kerajaan Pakistan pimpinan Perdana Menteri, Shehbaz Sharif, berikrar untuk menghalang penunjuk perasaan daripada memasuki ibu negara itu dan menyifatkannya sebagai cubaan ‘memecah belah negara dan mencetus huru-hara’.

Bagaimanapun ketika perbicaraan kecemasan Mahkamah Agung semalam, hakim memberi kebenaran untuk tunjuk perasaan diadakan di pinggir bandar itu, namun Imran menegaskan akan tetap bergerak menuju ke tengah bandar seperti dirancang.

Susulan itu, polis melonggarkan beberapa sekatan jalan raya menuju ke Islamabad, yang dilaksanakan menggunakan kontena kapal di beberapa laluan masuk dan keluar utama.

Related posts

Leave a Comment