Bukan cacar monyet tapi HFMD

PUTRAJAYA 26 Mei – Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang didakwa dijangkiti cacar monyet, baru-baru ini, sebenarnya dijangkiti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) virus jenis Coxsackie A6.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataannya berkata perkara itu disahkan melalui hasil ujian sampel dilakukan terhadap kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan dibawa ke Klinik Kesihatan Batu 14, Selangor, untuk pemeriksaan kerana mengalami gejala demam sejak 13 Mei lalu.

Tiga hari selepas mengalami demam, timbul ruam yang kemudian menjadi ‘blister’ (19 Mei) dan mula pecah pada 21 Mei lalu.

Kanak-kanak itu dipantau di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Dua sampel diambil dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan membuat pengujian untuk beberapa jenis virus, termasuk HFMD dan cacar monyet.

“Keputusan ujian mengesahkan HFMD positif virus Coxsackie A6 dan negatif penyakit Monkeypox (cacar monyet) serta lain-lain virus yang diuji,” katanya.

Kementerian Kesihatan sebelum ini memaklumkan tiada menerima sebarang notifikasi berhubung jangkitan cacar monyet di negara ini.

Ia susulan tular tangkap layar memaparkan dakwaan bahawa penyakit itu sudah merebak ke Malaysia, dengan menunjukkan gambar seorang kanak-kanak mengalami gejala seakan-akan penyakit cacar monyet pada bahagian tangannya.

Related posts

Leave a Comment