6,443 maut akibat nahas jalan raya

KUALA LUMPUR 6 Mac – Sebanyak 6,443 kematian dilaporkan akibat nahas jalan raya tahun lalu dengan purata 18 kematian sehari bersamaan satu kematian dalam 80 minit, kata Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, daripada jumlah itu, 4,480 kematian adalah pengguna motosikal dengan purata 12 kematian sehari dan satu kematian setiap dua jam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKJR) berkata, kerajaan akan terus melaksanakan beberapa inisiatif dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

“Antaranya menerusi pelaksanaan program menaik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya termasuk pembaikan permukaan jalan dan bahu jalan, menambah baik papan tanda, garisan jalan, lampu jalan dan lampu isyarat,” katanya

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat JKMKJR hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan meluluskan peruntukan RM50 juta bagi perluasan lorong khas bas, termasuk pembelian 100 unit van transit atas permintaan (DRT) di Lembah Klang bermula September tahun ini.

Katanya , kajian menunjukkan pelaksanaan Lorong Khas Bas Prasarana di Jalan Ampang dan Genting Klang sejak 3 Julai lalu menunjukkan maklum balas menggalakkan dari segi penjimatan masa.

“Data menunjukkan berlaku penjimatan masa sehingga 18 minit bagi perjalanan bas di lokasi (destinasi-kee-destinasi) dan susulan penjimatan itu, berlaku penambahan jumlah penumpang secara harian 20 hingga 45 peratus.

“Dengan keberkesanan pengurangan masa perjalanan itu, peningkatan kekerapan bas dan jumlah penumpang harian, mesyuarat JKMKJR memutuskan untuk mengekalkan laluan khas bas Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang,” katanya.

Mesyuarat turut bersetuju memperluaskan laluan bas khas ke Jalan Klang Lama bermula Jun depan, selain melaksanakan kajian bagi pelaksanaan lorong bas di Jalan Cheras (Taman Connaught – Jalan Pudu) serta Lebuhraya Persekutuan (Pusat Bandar Kuala Lumpur – Persimpangan Shah Alam

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, mesyuarat memutuskan untuk melaksanakan sistem penyuraian baharu secara berperingkat untuk lokasi kritikal kesesakan.

Katanya, ia akan dilaksanakan selepas makluman daripada pihak polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kerajaan juga melaksanakan laluan kontra bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di waktu puncak.

“Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan 88 peratus pengguna lebuh raya yang ditemui bersetuju laluan kontra berkesan dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Mesyuarat juga bersetuju mempertingkat penguatkuasaan dan langkah pengoperasian bagi mengelak isu seperti insiden kemalangan hasil pemasangan kon dan penambahan pencahayaan ketika waktu hujan dan gelap.

Katanya, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) akan meneliti cadangan supaya projek pembangunan mengguna pakai konsep berasaskan ‘Transit Oriented Development’ (TOD).

Ia sebagai langkah jangka panjang mengurangkan kesesakan jalan raya, khususnya di kawasan pembangunan dan pengoperasian stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Nnnn

Related posts

Leave a Comment