Ketua MCA Pontian keluar parti

JOHOR BAHRU 26 Mei – Ketua Bahagian MCA Pontian yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Tee Siew Kiong mengumumkan keluar parti itu berkuatkuasa serta-merta.

Siew Kiong, berkata, beliau tidak akan membuat rayuan terhadap tempoh penggantungan keahliannya selama lima tahun yang dikenakan parti terhadapnya menerusi Jawatankuasa Tatatertib.

Katanya, rayuan tidak akan menyebabkan sebarang perubahan lebih-lebih lagi apabila cadangan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib boleh diubah, maka keputusan rayuan juga sudah dalam jangkaan.

“Saya seorang yang sentiasa bercakap benar. Betul atau salah bukanlah sesuatu yang boleh saya tentukan. Niat saya adalah untuk memberi nasihat dari semasa ke semasa. Saya lebih suka bercakap seperti itu, tetapi malangnya Presiden tidak membenarkan suara yang berbeza dalam parti.

“Bagi mengelakkan parti daripada terus menjadi huru-hara, saya secara rasminya mengumumkan akan keluar daripada parti MCA berkuat kuasa serta-merta. Tindakan ini juga dapat memenuhi hasrat terbesar dan terakhir presiden,” katanya dalam sidang media di di sini, hari ini.

Siew Kiong yang sudah 40 tahun bersama MCA turut mengucapkan terima kasih kepada parti MCA dan semua bekas Presiden termasuk Ling Liong Sik, Ong Ka Ting, Ong Tee Keat, Chua Soi Lek dan  Liow Tiong Lai atas bimbingan dan peluang serta platform untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sekalipun meninggalkan MCA, Siew Kiong tidak akan berhasrat menyertai mana-mana parti lain buat masa ini.

“Sepanjang perjalanan saya dalam parti, saya tetap dengan pendirian saya tidak bersalah terhadap parti, saya ikhlas terhadap penyokong saya dan dedikasi saya untuk berkhidmat kepada pengundi.

“Berkenaan dengan masa depan dalam arena politik, saya berserah kepada Tuhan. Sekiranya masih ada rezeki atau ketentuan atau kemampuan untuk menyumbang kepada masyarakat, saya akan teruskan perjalanan ini,” katanya lagi.

Pada 13 Mei lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang itu mengesahkan keahliannya dengan parti MCA digantung selama lima tahun selepas mendapat salinan surat  penggantungan itu menerusi aplikasi WhatsApp daripada kakitangan parti.

Sebab penggantungan yang diberikan parti berkenaan adalah atas tindakannya mengadakan sidang media dan Facebook live pada 25 Februari lepas berhubung namanya tidak dicalonkan oleh parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lepas.

Related posts

Leave a Comment