RM132.4 juta bagi JBPM

KEPALA BATAS 22 Mei – Kerajaan meluluskan peruntukan pembangunan RM132.4 juta kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), bagi menambah baik kesiapsiagaan dan kebajikan anggota, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata dana itu meliputi perolehan jentera bomba, kenderaan utiliti, kenderaan forensik kebakaran, kelengkapan perlindungan diri (PPE) serta sistem perisian pemantauan kebombaan, bertujuan mempertingkat keberkesanan jabatan dalam menangani kes kecemasan.

Di samping itu, 18 buah projek pembinaan balai bomba yang apabila siap nanti, akan memberi impak besar kepada pengurangan tempoh masa bertindak, sekali gus dapat meningkatkan keyakinan Keluarga Malaysia terhadap kesiapsiagaan JBPM.

Kerajaan juga meluluskan projek fizikal fasiliti kebombaan yang kini dalam proses pelaksanaan, iaitu Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Pangkalan Operasi Utama Subang, Selangor serta Kuarters dan Balai Bomba Goh Tong Jaya, Genting, Pahang.

“Saya yakin, ketiga-tiga projek ini mampu merencana impak yang optimum dalam aspek pentadbiran, pengoperasian dan kebajikan anggota,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memastikan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan terus relevan dengan keperluan rakyat, sejajar dengan peningkatan risiko semasa.

Katanya, mengambil kira faktor pemerkasaan dan pemodenan aset kebombaan, kerajaan dalam proses pertimbangan meluluskan permohonan pemanjangan bayaran Elaun Kemahiran Khas kepada pegawai yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Walaupun pada peringkat awal kita menerima permohonan dengan kadar RM300 bagi dua insentif untuk jurulatih dan tenaga pengajar, saya berpandangan kadar itu tidak sesuai dan saya telah mengarah Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menambah jumlah elaun-elaun jurulatih dan tenaga pengajar,” katanya.

Ismail Sabri berkata, ini membabitkan Bayaran Insentif HAZMAT melibatkan kadar bayaran RM30 bagi setiap operasi dengan maksimum RM600 sebulan serta Bayaran Insentif Penyelamat di Air dengan bayaran RM30 bagi setiap operasi dan maksimum RM600 sebulan.

Selain itu, katanya, kadar elaun turut ditambah untuk Bayaran Insentif Rawatan Kecemasan dengan kadar secara pro rata maksimum RM150 sebulan danBayaran Elaun Tanggungjawab Khas Pemandu melibatkan kadar bayaran secara pro rata maksimum RM150 sebulan.

“Kelulusan elaun ini akan memberi manfaat kepada 114 orang pegawai bomba dari Gred KB19 hingga KB38 yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di lima buah akademi.

“Diharapkan dengan kelulusan ini, jurulatih dan tenaga pengajar dengan kemahiran khas ini akan terus meningkatkan komitmen dan kualiti kerja ke arah melahirkan modal insan yang berkualiti dan berwibawa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment