AFRIKA Selatan hari ini mengesahkan kes pertama Covid-19, yang mekibatkan seorang lelaki berusia 38 tahun yang mengembara ke Itali. Pengesahan itu juga merupakan kes terbaru di sub-Sahara Afrika selepas Nigeria dan Senegal.
Menteri Kesihatan, Zweli Mkhize dalam satu kenyataan berkata, kes itu dikesan di Kwa-Zulu Natal, wilayah timur negara itu.
Pesakit dan isterinya adalah sebahagian daripada sekumpulan 10 orang yang tiba di Afrika Selatan dari Itali pada 1 Mac. Dua hari kemudian, pada 3 Mac, beliau mendapatkan rawatan dengan seorang pengamal perubatan swasta akibat demam, sakit kepala, sakit tekak dan batuk.
Itali muncul sebagai pusat Eropah bagi virus maut itu dengan angka kematian di negara itu 107, paling tinggi di luar China.
Lebih 90,000 orang telah dijangkiti dan lebih daripada 3,000 maut di seluruh dunia sejak virus pertama kali muncul di China pada bulan Disember. Setakat ini 3,042 kematian dilaporkan di China.
Afrika Selatan sedang bersiap untuk membawa pulang 184 warganya – yang terdiri daripada pelajar, guru dan profesional lain yang bekerja di Wuhan China, pusat epidemik.
Jabatan maklumat kerajaan juga mengumumkan bahawa dua warga Afrika Selatan yang bekerja di kapal persiaran Diamond Princess yang sedang berlabuh pada awalnya diuji positif untuk virus itu, ‘kini telah diuji negatif dan akan segera pulang ke rumah’.
Sementara itu, Bhutan turut melaporkan kes pertama.
(6 Mac 2020 – fakta sehingga 12.30 tengah hari)