262 kes baharu di Brunei Darussalam

BERAKAS 19 Mei  – Brunei Darussalam hari ini merekodkan 262 kes harian Covid-19 turun sedikit berbanding 300 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan yang direkodkan setakat ini 145,783.

Menteri Kesihatan, Dr. Md. Isham Jaafar berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 253 adalah hasil Ujian ART dan sembilan kes lagi hasil daripada 341 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, tiada kes direkodkan dalam Kategori 5, dan Kategori 4.

Katanya, sebanyak 143 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 143,620 manakala jumlah kes aktif pula sebanyak 1,942 kes, iaitu 17 kes sedang dirawat di hospital, manakala 1,925 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu semalam, 196 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 32,836  atau 76.5 peratus telah menerima satu dos.

Sebanyak 1,176  dos kedua diberikan kepada kanak-kanak pada usia berkenaan menjadikan 13,058 atau 30.4 peratus manakala 69.0 peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment