New York syor pakai pelitup muka

NEW YORK 19 Mei – Penduduk New York dinasihatkan mengambil pelbagai langkah melindungi diri dari jangkitan Covid-19 termasuk memakai pelitup muka di kawasan awam tertutup susulan peningkatan kes dalam komuniti yang tinggi.

Langkah itu juga berikutan tekanan terhadap sistem kesihatan awam semakin meningkat.

Datuk Bandar New York Eric Adams bagaimanapun memberi jaminan bandar itu tetap bersedia dan tidak panik walaupun ia memasuki tahap amaran Covid-19 yang tinggi.

“Saya bangga dengan apa yang kita lakukan dan bagaimana kita tidak membenarkan Covid-19 mendahului kita.

Kita tetap bersedia dan tidak panik. Apabila saya lihat kepada kemasukan ke hospital dan kematian, angka kedua-duanya stabil,” katanya semalam, Rabu.

Jabatan Kesihatan dan Kebersihan Mental mengeluarkan nasihat dan menggesa penduduk untuk menggunakan pelitup muka berkualiti tinggi apabila berada di dalam bangunan dan di tempat awam.

Ini termasuk di kedai runcit, lobi bangunan, pejabat, kedai dan ruang biasa yang dikongsi dengan individu lain seperti lif, tandas awam dan bilik mesyuarat.

Nasihat itu memberi perhatian khusus kepada individu berisiko tinggi mendapat gejala teruk dan kematian iaitu mereka yang berumur 65 tahun ke atas atau yang tidak mendapatkan vaksin.

Jabatan Pendidikan juga menghantar surat kepada keluarga untuk mengesyorkan semua pelajar sekolah awam memakai pelitup muka.

Related posts

Leave a Comment