Zahid nafi jaga kedudukannya

KUALA LUMPUR 15 Mei – Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan bahawa pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO hari ini untuk mempertahankan kedudukannya dalam parti.

Sebaliknya beliau berkata, pindaan itu dibuat hasil usul yang dibawa dari mesyuarat perwakilan UMNO bahagian-bahagian sebelum ini.

Beliau berkata usul supaya pemilihan dalam UMNO ditangguhkan dibuat oleh 180 bahagian UMNO pada mesyuarat agung masing-masing sebelum ini.

“Saya mendengar adanya suara-suara dalam kalangan kita, kononnya pindaan ini untuk menyelamatkan kedudukan Zahid Hamidi sebagai Presiden. Suka saya tegaskan, ia tidak benar.

Saya sekali-kali tidak akan melakukannya. Dangkallah jika ada di kalangan kita, termasuk saf kepimpinan tertinggi parti, berpandangan dan berfikiran sempit sedemikian.

“Jangan kita buat-buat lupa, gesaan pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) adalah usul daripada majoriti bahagian yang sudah mengadakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian masing-masing,” katanya berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas hari ini.

Beliau berkata, keputusan di peringkat akar umbi itu, kemudiannya diangkat ke PAU 2021 pada Mac lalu, sebelum dipersetujui dan diluluskan.

“Pindaan ini adalah manifestasi suara akar umbi. Saya yakin saudara saudari sekalian hendak melihat parti kita kukuh dan berpadu. Adat memimpin, apa pun yang datang, bahtera perlu diselamatkan. Walau diri terkorban, namun bahtera jangan dibiarkan karam.

“Saya ingin tegaskan, pindaan perlembagaan kali ini akan memberi ruang kepada pasukan, atau ‘team’ kepimpinan pusat, bahagian dan cawangan, bagi setiap penggal pemilihan, untuk memfokuskan gerak kerja menghadapi PRU (Pilihan Raya Umum),” katanya.

Beliau berkata, dengan mengabsahkan pindaan perlembagaan parti hari ini, kepimpinan yang ada di semua peringkat adalah pasukan yang akan membawa parti menghadapi PRU-15 dan PRU seterusnya.

“Inilah pasukan yang selepas jatuh, bangkit dengan keazaman. Inilah pasukan yang meskipun tewas PRU-14 tetapi kekal berpaksikan kesetiaan.

“Inilah pasukan yang menggalas tanggungjawab parti dan mengharungi setiap cabaran. Inilah pasukan yang tidak lari ketika bertempur di medan. Inilah pasukan yang tidak tunduk kepada ugutan.

“Inilah pasukan yang sudah disiapsiagakan untuk menghadapi peperangan.

Inilah pasukan yang kekal istiqomah dalam perjuangan dan inilah pasukan dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri yang sudah menjana kemenangan,” katanya.

Beliau juga menegaskan pindaan itu membawa erti yang cukup besar dan mesejnya  amat jelas iaitu, UMNO mahukan kestabilan.

“Kestabilan UMNO untuk menghadapi PRU ke-15; Kestabilan UMNO untuk mengembalikan maruah perjuangan; dan Kestabilan UMNO untuk mempersiapkan pewaris kesinambungan sebuah perjuangan,” katanya.

Beliau berkata, apa maknanya agenda kestabilan yang ditawarkan kepada rakyat, seandainya dalaman parti sendiri tidak tenteram, berpecah, wujudnya puak dan kelompok, yang pada akhirnya merugikan kita semua.

Ahmad Zahid berkata, selepas PRU selesai, pemilihan parti akan dijalankan dan pasukan baharu akan dipilih.

“Pasukan yang baharu itu mempunyai masa maksimum lima tahun untuk menumpukan tenaga dan gerak kerja demi kesejahteraan rakyat.

“Pada masa yang sama, kestabilan parti terus terpelihara, bagi menghadapi pilihan raya-pilihan raya umum seterusnya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment