Pindaan libatkan tiga fasal

KUALA LUMPUR 15 Mei – Pindaan Perlembagaan UMNO melalui Perhimpunan Agung (PAU) Khas membabitkan hanya tiga fasal iaitu Fasal 10.16, Fasal 15.3 dan Fasal 18.2, kata Naib Presiden, Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, pemilihan parti tetap diadakan tiga tahun sekali seperti yang terkandung dalam Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

Katanya, sebaliknya peruntukan dan fasal baharu yang dipinda dan dimasukkan adalah fasal pengecualian kepada pemilihan tiga tahun sekali itu.

“Fasal pertama yang dipinda adalah Fasal 10.16 yang sekarang ini memperuntukkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, Bahagian dan Cawangan.

Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.

“Fasal ini akan dipinda untuk memberi kuasa dan pilihan kepada MKT untuk membuat satu lagi bentuk penangguhan kepada pemilihan parti iaitu penangguhan selama enam bulan selepas sesuatu PRU diadakan,” katanya membentangkan usul pindaan Perlembagaan UMNO pada PAU Khas, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

PAU Khas itu diadakan bagi meluluskan pindaan menyentuh Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, yang memberi tempoh untuk parti melanjutkan pemilihan parti dalam tempoh enam bulan selepas PRU selesai diadakan.

Mohamed Khaled menjelaskan, dalam erti kata lain, peruntukan Fasal 10.16 yang sedia ada akan dipinda menjadi Fasal 10.16.1.

Katanya, fasal itu akan menetapkan MKT berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MKT ,Bahagian dan Cawangan.

Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan atau tidak lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu PRU yang mana terkemudian.

Beliau berkata, bagi menjelaskan kesan pindaan ini, ada beberapa senario dan ilustrasi yang mungkin berlaku dengan pindaan itu.

“Katakanlah, mengikut kitaran tiga tahun, pemilihan parti yang seterusnya sepatutnya diadakan pada bulan Jun 2022.

“Bersandarkan kepada Fasal 10.16.1 yang baharu, pemilihan parti sekarang boleh ditangguhkan pada satu masa dalam tempoh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh sepatutnya atau sehingga enam bulan dari PRU.

“Ini bermakna, pemilihan parti mestilah diadakan pada bila-bila masa tidak melebihi Disember 2023, iaitu tempoh 18 bulan dari pemilihan parti sebelumnya (Jun 2022).

“Sekiranya terdapat PRU diadakan, katakan pada Januari 2023, penangguhan tarikh pemilihan parti masih boleh dilakukan sehingga selewat-lewatnya Disember 2023.

“Ini kerana tempoh penangguhan 18 bulan itu adalah lebih terkemudian berbanding enam bulan selepas PRU, iaitu Julai 2023,” katanya

Jika PRU diadakan pada Julai 2023 misalnya, maka tarikh pemilihan parti boleh ditangguhkan sehingga selewat-lewatnya Januari 2024.

Ini kerana, katanya tempoh enam bulan selepas PRU itu adalah lebih terkemudian daripada tempoh 18 bulan penangguhan dari pemilihan parti yang sebelumnya.

Beliau menegaskan bagi menjelaskan bila tarikh PRU yang dimaksudkan, maka dicadangkan juga satu fasal kecil baharu iaitu Fasal 10.16.2 yang akan memperuntukkan bahawa:

Tarikh Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat) yang dinyatakan dalam Fasal 10.16.1 ini bermaksud tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat) yang dinyatakan dalam writ yang dikeluarkan mengikut Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 atau mana-mana undang-undang yang terpakai bagi tujuan yang sama.

Tarikh PRU yang dinyatakan dalam Fasal 10.16.1 ini bermaksud tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Umum Dewan Rakyat yang dinyatakan dalam writ yang dikeluarkan mengikut Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 atau mana-mana undang-undang yang terpakai bagi tujuan yang sama.

Justeru, katanya, susulan kepada pindaan yang dibuat pada Fasal 10.16 ini, kedua-dua Fasal 15.3 dan Fasal 18.2 akan turut terpinda.

Related posts

Leave a Comment