Kes baharu Covid-19 catat 2,373

PUTRAJAYA 15 Mei – Kes baharu Covid-19 di negara ini terus mencatatkan pertambahan empat angka tetapi menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 2,373 kes semalam berbanding 3,029 kelmarin.

Menerusi laman sesawang COVIDNOW, kes baharu itu dikesan membabitkan 2,370 kes penularan tempatan dengan tiga lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dengan pertambahan kes baharu itu menjadikan sehingga kini jumlah individu yang dijangkiti virus berkenaan meningkat kepada 4,475,873 kes.

Setakat semalam, negara mempunyai sebanyak 29,762 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dan daripada jumlah berkenaan sebanyak 95.5 peratus atau 28,425 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Sebanyak 1,261 kes sedang mendapatkan rawatan di hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan (31), ICU dan tidak memerlukan alat bantuan pernafasan (16) serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (29).

Selangor menjadi negeri tunggal mencatatkan kes baharu empat angka iaitu sebanyak 1,089 kes, diikuti Kuala Lumpur dengan 359 kes, Pulau Pinang (189), Negeri Sembilan (162), Perak (116), Melaka (97), Pahang (58), Johor (55), Putrajaya (53) dan masing-masing 51 kes di Kedah serta Sabah (51).

Sarawak pula merekodkan 48 kes, Terengganu 25, Kelantan 11, Perlis enam kes dan Labuan tiga kes.

Mengenai kes sembuh di negara ini, setakat semalam sebanyak 1,340 kes dilaporkan sekaligus menjadikan jumlah individu yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 ialah sebanyak 4,410,499 kes.

Dalam pada itu semalam terdapat lima kematian dilaporkan termasuk satu kes kematian diluar fasiliti kesihatan (BID). Ia menjadikan jumlah angka korban kini meningkat kepada 35,612 kes.

Related posts

Leave a Comment