Tiga hari angka lepasi 2,000 kes

PUTRAJAYA 11 Mei – Tiga hari berturut-turut, kes harian Covid-19 di negara ini melepasi angka 2,000 dengan semalam mencatatkan 2,605 jangkitan berbanding dua hari sebelumnya iaitu 2,246 dan 2,153 kes.

Menurut laman sesawang COVIDNOW, kes baharu membabitkan 2,601 penularan tempatan dengan empat lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,463,740 kes.

Setakat semalam, negara mempunyai 22,953 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dan daripada jumlah itu, sebanyak 94.2 peratus atau 21,612 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selangor menjadi negeri tunggal mencatatkan kes baharu empat angka iaitu 1,126 kes, diikuti Kuala Lumpur dengan 327 kes, Negeri Sembilan (195 kes), Pulau Pinang (174 kes), Melaka (127 kes), Johor (126 kes) dan masing-masing 120 kes di Kedah dan Perak.

Selain itu, Sarawak merekodkan 74 kes, diikuti Pahang (46 kes), Kelantan (43 kes), Terengganu (40 kes), Sabah (39 kes), Putrajaya (25 kes), Labuan (15 kes) dan Perlis (lapan kes).

Sebanyak 1,250 kes mendapatkan rawatan di hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan (38 kes), ICU dan tidak memerlukan alat bantuan pernafasan (29 kes) serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (24 kes).

Semalam juga 2,014 kes sembuh dilaporkan, sekali gus menjadikan jumlah individu yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 ialah 4,405,197 kes.

Related posts

Leave a Comment