Ahli Parlimen DAP gesa Azam letak jawatan

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Seorang Ahli Parlimen DAP menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, susulan laporan berkait pemilikan sahamnya seperti dilaporkan media antarabangsa baru-baru ini.

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang membuat gesaan itu berkata, Azam perlu meletak jawatan dan pada masa sama mencadangkan kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat laporan yang membabitkan Azam untuk membersihkan nama SPRM.

Beliau mengingatkan kegagalan kerajaan bertindak tegas dikhuatiri akan mengakibatkan rakyat serta pengundi hilang keyakinan kepada kerajaan hari ini.

“Azam Baki perlu letak jawatan. He have to go. Either he has to go or we have to go (Dia kena pergi atau kita yang perlu pergi). He go or we go (Dia pergi atau kita yang pergi).

Itu adalah pesanan saya. Kerana sekiranya kita membenarkan beliau terus memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, pilihan raya akan datang, (ketika) pengundi akan hukum kita.

“Saya harap masa bahas saya tamat tapi jangan tempoh kita jadi kerajaan tamat selepas pilihan raya akan datang,” katanya berucap membahaskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Khoo berkata ini bukan kali pertama Azam melakukan kesalahan seumpama itu di mana pada tahun 2022, ketua pesuruhjaya SPRM pada ketika itu juga memiliki saham lebih daripada yang dibenarkan.

“Ini merupakan kali kedua dibongkarkan. Jadi saya minta supaya kerajaan mengambil tindakan yang tegas,” katannya.

Awang Hashim (PN-Pendang) kemudian bangun untuk berbahas menyambut baik saranan itu.

“Buat pertama kali saya menyokong Kota Melaka untuk menubuhkan RCI. Whether you go or we go. You go or we go. Saya sokong,” katanya.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul menolak usul untuk membahaskan isu pegangan saham yang membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu, dengan alasan perkara itu tidak boleh dibahaskan kerana sebuah jawatankuasa khas sudah ditubuhkan untuk menyiasat isu berkenaan.

Surat yang mengandungi cadangan usul itu dikemukakan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) ke pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, dengan berhujah bahawa perkara itu adalah mendesak dan wajar dibincangkan segera di Dewan

Sebelum ini, lapan Ahli Parlimen PKR turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggantung tugas Azam dan menyegerakan siasatan bebas serta telus ke atas beliau berkait dakwaan pemilikan saham.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mewakili kumpulan wakil rakyat itu menegaskan, tidak berbaloi kepada Pakatan Harapan (PH) dan Anwar dihukum oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang atas tuduhan-tuduhan yang membabitkan seorang penjawat awam.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Shamsul Azri Abu Bakar, kelmarin memaklumkan Azam sudah dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan isu pemilikan saham kepada Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan kerajaan.

Katanya, berdasarkan laporan awal diterima, jawatankuasa itu sedang meneliti aspek pematuhan dan keteraturan pemilikan saham berkenaan oleh Azam.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment