TANGKAK 23 Jun – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di 20 kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor termasuk mempertahankan kerusi tunggalnya di Bukit Batu pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) bulan depan.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengumumkan senarai penuh bakal calon PKR yang akan mewakili Pakatan Harapan (PH) termasuk penyandang tunggal sebelum ini Arthur Chiong, yang akan mempertahankan kerusi Bukit Batu.
Daripada 20 calon itu, dua wanita disenaraikan iaitu Timbalan Setiausaha I Wanita PKR Rozy Razit di N.01 Buluh Kasap dan Ketua Srikandi PKR Johor, Soraya Badaruddin di N.16 Sungai Balang.
Turut dicalonkan bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik yang akan bertanding di Puteri Wangsa, manakala bekas ADUN Semerah, Khuzzan Abu Bakar akan bertanding semula di kerusi yang dimenanginya pada 2018.
PKR turut meletakkan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar di kerusi Senggarang yang sebelum ini dimenangi BN dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 3,912 undi.
Sementara Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezudin Puad pula dipertaruhkan di kawasan N.47 Kempas yang pada pilihan raya lalu dimenangi BN dalam pertandingan tujuh penjuru.
Difahamkan PKR selain mahu mempertahankan kerusi tunggalnya turut menyasarkan untuk memenangi enam kerusi lain iaitu DUN Bukit Naning; Pemanis; Senggarang; Tenggaroh; Kempas dan Puteri Wangsa.
Sementara itu PKR menerusi Facebook menyifatkan barisan calon mencerminkan komitmen parti dalam memperjuangkan kepelbagaian, keterangkuman serta memperkasakan penyertaan wanita dan generasi muda dalam kepemimpinan negara.
“Gabungan pengalaman, integriti dan semangat reformasi yang dibawa oleh calon-calon ini menjadi asas penting dalam meneruskan agenda pembangunan, memperkukuh ekonomi rakyat serta memastikan Johor terus maju, makmur dan sejahtera,” kata kenyataan itu.
Nnnnn
