BURGENSTOCK – Amerika Syarikat (AS) mengantung sementara sekatan ke atas industri minyak Iran, selepas Naib Presiden AS, JD Vance memaklumkan Tehran bersetuju membenarkan pemeriksa nuklear Pertubuhan Bangsa-Banga Bersatu (PBB) kembali memasuki republik itu susulan rundingan di Switzerland.
Jabatan Perbendaharaan AS memaklumkan sekatan terhadap Iran digantung sementara sehingga 21 Ogos depan bagi membolehkan negara itu mengeluar, menjual dan menghantar minyak mentah serta produk berkaitan.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, berkata keputusan itu dibuat susulan komitmen Tehran untuk memastikan laluan perkapalan yang bebas dan terbuka di Selat Hormuz, serta membenarkan pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memasuki negara itu..
Minggu lalu, Tehran dan Washington menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang menjadi asas kepada rundingan terbabit, selepas perang hampir 40 hari disusuli gencatan senjata rapuh.
Rundingan berkenaan bertujuan menangani beberapa isu paling rumit yang sekian lama menjejaskan hubungan AS-Iran, termasuk program nuklear Tehran.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, berkata hanya perbincangan ringkas mengenai isu nuklear diadakan dan tiada butiran lanjut disentuh, selain menegaskan rundingan nuklear secara rasmi masih belum bermula.
Tehran sebelum ini menggantung sebahagian kerjasama dengan IAEA dan menghalang pemeriksa daripada mengakses beberapa tapak nuklear utama yang dibom AS dan Israel ketika perang selama 12 hari pada 2025.
Namun, pemeriksa IAEA masih dibenarkan membuat lawatan ke Iran, kali terakhir pada November lalu.
Nnnn
