1.5 juta masuk Madinah

MADINAH 11 Mei – Seramai 1,542,960 jemaah umrah tiba di Madinah melalui laluan udara, darat dan laut sejak awal musim umrah tahun ini, demikian menurut laporan  Agensi Kementerian Haji dan Umrah bagi Ehwal Lawatan di Madinah.

Memetik laporan Saudi Gazette, daripada jumlah itu, 1,300,380 jemaah umrah telah pulang manakala 242,580 masih berada di Madinah sehingga Isnin.

Statistik menunjukkan jumlah pelawat tertinggi, berdasarkan kewarganegaraan yang datang ke Madinah untuk mengunjungi dan bersolat di Masjid Nabawi pada musim umrah kali ini adalah warga Iraq dengan 313,815 jemaah.

Ini diikuti oleh Pakistan (201,003 jemaah),  Indonesia (171,898 jemaah) dan warga Mesir (95,907 jemaah).

Jumlah permit yang dikeluarkan secara elektronik bagi membenarkan jemaah untuk menunaikan solat di kawasan Rawdah di Masjid Nabawi semasa bulan Ramadan adalah 262,781, termasuk 116,045 permit bagi jemaah wanita.

Sementara itu, lapor Saudi Gazette, jumlah permit yang dikeluarkan untuk bersolat di Al Rawdah sejak awal musim umrah ini mencecah 2,785,720 melalui aplikasi Eatmarna.

Statistik kementerian itu menunjukkan jumlah permit yang dikeluarkan kepada jemaah untuk menunaikan umrah sepanjang Ramadan tahun ini mencecah 6,694,998 menerusi aplikasi Eatmarna.

Statistik juga mendedahkan pasukan-pasukan susulan dan pemeriksaan melakukan 900 lawatan turun padang bagi menyemak tahap perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat umrah sepanjang Ramadan.

(Foto Haramain Sharifain)

Related posts

Leave a Comment