DAP ada masa cari calon Bangi

KAJANG 11 Mei – Parlimen Bangi akan menjadi kawasan pengundian yang mencabar kepada DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), berikutan jumlah pengundi yang tinggi dan hampir 100,000 adalah pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, ramai anak muda tinggal di kawasan Parlimen ini, disertakan demografi (Bangi) di peringkat kebangsaan yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Jadi, kepada sesiapa sahaja yang bakal menggantikan Ahli Parlimen Bangi (Ong Kian Ming), ini satu faktor mencabar yang perlu dipertimbangkan parti dalam menghadapi PRU15,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Kian Ming.

Loke berkata walaupun Kian Ming mengumumkan tidak bertanding pada PRU15, wakil rakyat itu akan terus membantu parti dan akan memberi lebih masa untuk mencari calon yang bersesuaian dengan demografi Bangi.

Menurut Loke, DAP akan terus mendapat pertolongan Kian Ming untuk memastikan sesiapapun calon akan terus mendapat sokongan rakyat.

Bagi kawasan parlimen Bangi yang tinggi jumlah pengundi, parti memerlukan masa  yang lebih untuk calon bergerak dan mengenali kawasan ini, bukannya menunggu sehingga Parlimen dibubarkan.

Justeru , tindakan Kian Ming mengumumkan keputusan tidak bertanding lebih awal memberi ruang kepada parti untuk mengenal pasti calon yang sesuai di kawasan Bangi.

“Ini merupakan satu daripada faktor Ong mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding lebih awal supaya kita ada masa lebih panjang dalam mengenal pasti calon yang sesuai untuk kawasan Bangi,” katanya.

Sebelum ini, Kian Ming dilaporkan berkata keputusan beliau untuk tidak bertanding pada PRU15 bukan keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa tetapi telah dibincangkan sejak tahun lepas dan akan membuka lebih banyak ruang kepada pemimpin muda.

Related posts

Leave a Comment