Panduan Pengurusan Pasca Covid-19

PUTRAJAYA 10 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) menerbitkan Garis Panduan Pengurusan Pasca Covid-19 Kebangsaan sebagai sumber rujukan menangani komplikasi atau sindrom Covid berpanjangan (Long Covid).

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata, tanpa rawatan khusus dan berstruktur, keadaan itu boleh berterusan sehingga menjejaskan kualiti hidup individu yang mengalami gejala Long Covid.

Katanya, ia juga boleh menyebabkan implikasi seperti peningkatan morbiditi, kehilangan upaya, penurunan produktiviti, hilang punca pendapatan yang membawa kepada bebanan sosioekonomi bukan sahaja kepada individu tetapi juga keluarga, masyarakat serta ekonomi negara.

Bagi menangani gejala Long Covid dengan berkesan dan selamat, Garis Panduan Pengurusan Pasca Covid-19 Kebangsaan pada Julai 2021 boleh dijadikan rujukan dan membabitkan pelbagai kepakaran termasuklah kesihatan primer, penyakit berjangkit, perubatan dalaman, nefrologi, kardiologi, respiratori, obstetrik, pediatrik, psikiatri dan perubatan rehabilitasi.

Dengan adanya protokol Garis Panduan Pengurusan Pasca COVID-19 Kebangsaan, individu yang mengalami gejala Long Covid ringan boleh menjalani penilaian awal dan rawatan di mana-mana klinik kesihatan terdekat di seluruh negara.

Individu dengan gejala Long Covid serius hingga menjejaskan fungsi ketara dan keupayaan kembali bekerja boleh dirujuk kepada hospital dengan kepakaran perubatan rehabilitasi.

Khairy berkata, antara gejala Long Covid kerap dialami dan boleh menyebabkan impak ke atas fungsi serta aktiviti harian individu terkesan adalah kelesuan, kesukaran bernafas, batuk, kesakitan sendi dan otot, kesukaran tidur nyenyak dan kelemahan anggota.

Katanya, Long Covid turut memberi kesan kepada masalah deria, kegelisahan, kekabutan otak dan lesi kulit.

Mengenai rehabilitasi, Khairy berkata, ia adalah kepakaran perubatan yang memberi fokus kepada peningkatan kefungsian individu melalui diagnosis, rawatan kesihatan, mengurangkan kehilangan upaya serta pencegahan komplikasi.

Intervensi program rehabilitasi bermatlamatkan kefungsian optimum fizikal, kognitif, sosial, psikologikal, vokasional dan avokasional, seiring keperluan tersendiri individu terkesan.

Program rehabilitasi komprehensif dan holistik membabitkan kepakaran anggota pelbagai disiplinari merangkumi Pakar Rehabilitasi, Pegawai Perubatan, anggota Pemulihan Fisioterapi, anggota Pemulihan Cara Kerja dan Jururawat.

Ia bergantung kepada keperluan spesifik pesakit, Pegawai Pemulihan Pertuturan dan Penelanan, Kaunselor, Pegawai Dietetik, Pegawai Farmasi dan Pegawai Kebajikan Sosial Perubatan juga boleh dibabitkan bersama.

Related posts

Leave a Comment