Keluarga Marcos kembali berkuasa

MANILA 10 Mei – Ferdinand Marcos Jr memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan raya Presiden Filipina semalam, sekali gus mencatat kemenangan menerusi majoriti sejak revolusi 1986 yang menggulingkan pemerintahan diktator bapanya.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Marcos Jr, 64, yang dikenali sebagai ‘Bongbong’, sudah melepasi jumlah undi 27.5 juta yang diperlukan untuk memperoleh majoriti.

Ini bermakna keluarga Marcos kembali ke tampuk kuasa, 36 tahun selepas mereka terpaksa hidup dalam buangan susulan kebangkitan ‘kuasa rakyat’.

“Saya harap anda tidak penat untuk terus mempercayai kami. Ada banyak perkara yang akan dilaksanakan,” kata Marcos Jr menerusi Facebook.

Marcos Jr memperoleh 29.9 juta undi, lebih dua kali ganda berbanding Naib Presiden Filipina, Leni Robredo, dengan 93.8 peratus undi sudah selesai dikira, berdasarkan keputusan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (COMELEC) Filipina.

Jumlah rakyat Filipina yang keluar mengundi adalah sekitar 80 peratus.

Keputusan rasmi dijangka diumumkan sekitar hujung bulan ini.

Marcos Jr pernah berkhidmat sebagai gabenor, anggota kongres dan senator, manakala kakaknya, Imee, kini menggalas tugas sebagai senator, dan ibunya, Imelda, pernah menjadi anggota kongres selama empat penggal, selain anaknya, Ferdinand Alexander dijangka menang kerusi kongres.

Bagi tempoh enam tahun sebagai Presiden Filipina, Marcos Jr  dijangka meneruskan dasar Rodrigo Duterte, iaitu pendekatan keras tanpa belas kasihan menjadikannya popular serta membantunya mengekalkan kuasa pemerintahan.

Penganalisis menjangkakan Marcos Jr akan melengkapkan projek penambahbaikan infrastruktur berbilion dolar di bawah Duterte dan merapatkan hubungan dengan China, namun khuatir isu rasuah dan nepotisme di Filipina masih berlarutan.

Beliau mendapat sokongan utama dalam pilihan raya itu apabila bergandingan dengan anak Duterte, Sara Duterte-Carpio, sekali gus dapat menggunakan sokongan besar Duterte dan membantu Marcos Jr memperoleh sokongan pengundi baharu.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan kem Duterte-Carpio berjaya memenangi jawatan Naib Presiden, dengan jumlah undi lebih tiga kali ganda berbanding pencabar terdekatnya.

Kira-kira 65 juta warga Filipina layak untuk keluar mengundi bagi memilih presiden, naib presiden, kerusi legislatif dan ribuan jawatan tempatan merangkumi gabenor sehinggalah datuk bandar dan ahli majlis perbandaran.

Related posts

Leave a Comment