IPOH 31 Ogos – Polis sedang menyiasat satu insiden membabitkan seorang wanita yang menaiki pentas utama dan cuba mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah ketika acara sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, pagi ini..
Kejadian berlaku pasa pukul 8.20 pagi ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang berkumandang.
Berdasarkan video yang tular, suspek kelihatan masuk melalui bahagian tepi pentas dan kemudiannya meluru ke arah Sultan Nazrin Muizzudin Shah sebelum ditahan oleh anggota keselamatan yang bertugas.
Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin, berkata suspek adalah seorang wanita tempatan berusia 41 tahun ditahan di lokasi kejadian dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. Ujian air kencing ke atasnya mendapati dia negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.
Semakan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain turut mempunyai rekod rawatan psikiatri dan sedang berada di bawah pengawasan pakar.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya menghormati majlis rasmi kenegaraan dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta keselamatan,” katanya.
Sementara itu, sambutan Hari Kebangsaan peringkat Perak di perkarangan Dewan Bandaran Ipoh, berlangsung dengan meriah dalam suasana penuh warna warni dengan penyertaan 111 kontinjen membabitkan seramai 5,891 peserta.
Selain Sultan Nazrin, turut berkenan berangkat ke sambutan itu adalah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Berangkat sama adalah dua anaknda Sultan Nazrin dan Tunku Zara iaitu Raja Kecil Besar, Raja Azlan Muzzaffar Shah dan Raja Nazira Safya Raja Nazrin Shah.
Turut hadir kenamaan pentadbiran kerajaan negeri termasuk Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad dan barisan EXCO kerajaan negeri.
Nnnn
