Perintah berkurung ESSZONE dilanjut

KOTA KINABALU 10 Mei – Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok, dilanjutkan sehingga 25 Mei depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Idris Abdullah, berkata perintah berkurung itu membabitkan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan itu dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara pukul 6 petang hingga 6 pagi.

“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan,” katanya.

Dalam kenyataannya, beliau berkata maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan ‘penculikan untuk wang tebusan’ (KFR) dan kumpulan Abu Sayaf masih cuba menceroboh kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,”.

Idris berkata, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.a

Katanya, ia juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet serta nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Di samping itu, beliau juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di ESSZONE mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu.

Related posts

Leave a Comment