Kekalkan kemenangan yang dicapai

SINGAPUR 3 Mei – Kemenangan yang sudah dicapai bersama hasil dari ujian yang lalu harus dikekalkan, bahkan diperkuatkan, agar tidak sia-sia segala pengorbanan, kata Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir hari ini.

Melalui khutbah Aidilfitri bertajuk ‘Mencari Kemenangan yang Berkekalan’, beliau menyeru agar sifat empati dan rahmah, yang dipelajari dan diterapkan ke dalam diri sepanjang pandemik Covid-19, diteruskan sekalipun kehidupan bertambah baik.

Antara sifat-sifat yang menyerlah sepanjang dua tahun lalu termasuk menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan, pegawai dan sukarelawan yang menjaga keselamatan institusi-institusi masyarakat dan agama seperti masjid-masjid kita.

“Janganlah apabila keperitan dan kesempitan diganti dengan kesenangan, kita lupa pengajaran dan hikmah dari pengalaman yang lalu,” katanya dalam khutbah yang disampaikan di Masjid Sultan pagi ini.

Katanya, menjadi satu kerugian jika kita kembali lemah dan alpa setelah dahulunya kita berazam untuk terus bersyukur di atas segala nikmat Tuhan.

Beliau berkata, ketika diuji sepanjang penularan wabak, masyarakat bergotong-royong dan berganding bahu memberi kerjasama, dengan membuat penyesuaian yang wajar dan berdisplin tinggi.

“Pada setiap ketika, kita memikirkan maslahat dan kepentingan bersama, bukan keinginan peribadi kita. Bukankah ini satu sikap yang sangat baik yang harus kita kekalkan bersama?, “ katanya.

Beliau berkata, amat rugi jika disiplin diganti dengan sikap leka dan cuai, kebersihan serta penyusunan rapi dan indah di masjid diganti dengan berselerak dan berkecah, keprihatinan terhadap pegawai dan sukarelawan diganti sikap pentingkan diri.

Katanya, kemenangan yang dicapai bersama hasil dari ujian yang lalu harus dikekalkan, bahkan dikuatkan, agar tidak sia-sia segala pengorbanan kita. 

Dalam khutbahnya, Dr Nazirudin juga merujuk kepada pergolakan dan krisis yang membelenggu masyarakat sejagat kebelakangan ini bagi memberikan gambaran bagaimana kebaikan yang sebelum ini dititikberatkan, kini hilang.

“Kita menyaksikan dunia yang baru semalam tenang dan sunyi akibat pandemik, hari ini diganti pula dengan pergolakan dan kekecohan.

“Baru satu ketika dahulu manusia menyayangi dan memelihara saudara dan teman, hari ini diganti dengan permusuhan dan persengketaan. Setiap nyawa yang sebelum ini dianggap berharga dan perlu dipelihara, hari ini tiba-tiba kita menyaksikan konflik yang mengorbankan nyawa,” katanya.

Justeru katanya, umat Islam diingatkan bahawa agama mendidik kita untuk berpegang teguh pada prinsip, menegakkan keadilan dalam segala urusan, menghapuskan segala bentuk kezaliman dan kesakitan dan berihsan dalam bermuamalah sesama manusia.

“Ini kerana Mukmin yang sebenar akan sentiasa mengutamakan kebaikan, memperjuangkan kebaikan, mempertahankan kebaikan, tidak kira kepada sesiapa sekalipun,” katanya.

Related posts

Leave a Comment