TEL AVIV – Lebih 100,000 warga Israel membanjiri jalan di Tel Aviv malam tadi, bagi membantah rancangan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memperhebat perang di Gaza yang memasuki tahun kedua.
Mereka juga menuntut kempen ketenteraan itu dihentikan serta-merta dan semua tebusan dibebaskan.
Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Israel dan ada membawa sepanduk gambar tebusan serta mengecam kerajaan dan mendesak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menghalang Netanyahu meneruskan rancangan itu.
Segelintir pula membawa gambar kanak-kanak Gaza yang terbunuh akibat serangan tentera.
Berdasarkan tinjauan pendapat orang awam, majoriti besar rakyat Israel mahu perang ditamatkan segera bagi membolehkan pembebasan baki 50 tebusan masih ditahan oleh Hamas di Gaza.
Tel Aviv seringkali menjadi lokasi perhimpunan bagi mendesak kerajaan memeterai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan ditahan oleh Hamas.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 61,369 rakyat terbunuh dalam perang genosid Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023.
Dalam kenyataan itu, kementerian memaklumkan bahawa 39 mayat dibawa ke hospital dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 491 orang cedera, menjadikan jumlah keseluruhan kecederaan akibat serangan Israel meningkat kepada 152,850 orang.
“Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan-jalan kerana pasukan penyelamat tidak dapat sampai kepada mereka,” menurut kenyataan itu lagi.
Kementerian turut memaklumkan bahawa 21 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 341 cedera ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan dalam tempoh 24 jam lalu.
