Lebih separuh kes baharu di Selangor

PUTRAJAYA 23 April – Selangor mendahului negeri-negeri lain merekodkan kes harian tertinggi dengan mencatatkan 3,819 kes berbanding jumlah keseluruhan negara semalam sebanyak 6,342 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkembangan itu menjadikan sehingga kini sebanyak 4,421,443 individu sudah dijangkiti virus itu.

Selain Selangor, kes baharu Covid-19 turut dilaporkan di Kuala Lumpur dengan 716 kes baharu, diikuti Negeri Sembilan (344), Perak (343), Pulau Pinang (223), Sabah (149), Sarawak (142), Johor (134) dan Melaka (124).

Pertambahan kes baharu turut disumbangkan oleh Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan 105 kes baharu, Kedah (91), Pahang (61), Terengganu (39), Kelantan (34), Labuan (11) dan Perlis (7).

Dalam kenyataannya, beliau berkata kes baharu yang dilaporkan semalam membabitkan 6,322 kes penularan tempatan dengan 20 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Secara keseluruhannya, daripada kes baharu yang direkodkan itu, kategori paling tinggi yang dikesan adalah kategori dua dengan 57.27 peratus atau 3,632 kes diikuti kategori satu dengan 2,668 kes, kategori lima (22), kategori tiga (14) dan kategori empat (6).

Keseluruhan 42 kes dalam kategori tiga hingga lima itu terdapat 23 kes membabitkan individu yang mempunyai komorbid, masing-masing 15 kes membabitkan indvidu berumur 60 tahun keatas serta sudah menerima dos penggalak, sudah menerima dua dos vaksin namun tiada dos penggalak (14) dan tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksin (13).

Dr Noor Hisham berkata, semalam terdapat dua kluster baharu penularan Covid-19 yang dikesan oleh pihaknya, menjadikan sehingga kini terdapat 100 kluster yang masih aktif di negara ini.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan sehingga kini terdapat sebanyak 85,403 kes aktif dengan kebolehkjangkitan Covid-19 masih ada di negara ini.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 83,528 kes bersamaan 97.8 peratus sedang menjalani kuarantin wajib di rumah manakala, 1,657 kes atau 1.9 peratus lagi sedang mendapatkan rawatan di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (127).

Selain itu seramai 61 individu berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan serta 30 individu tidak memerlukan alat bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment