Ujian saringan berterusan

SHANGHAI yang sedang melaksanakan perintah berkurung membabitkan 26 juta penduduknya terus melakukan ujian saringan Covid-19 untuk hari ketiga berturut-turut, ketika jumlah jangkitan mencecah 21,000 orang.

Ujian saringan itu memasuki hari ketiga ketika tidak ada tanda-tanda bahawa perintah berkurung akan dilonggarkan.

Beberapa bandar lain di China turut memperketatkan langkah sekatan pergerakan, termasuk di kawasan yang tidak merekodkan sebarang jangkitan baharu.

Kerajaan turut campur tangan di Shanghai selepas pihak berkuasa bandar raya itu gagal mengekang penularan Covid-19.

China menegaskan negara itu akan terus menggunakan dasar sifar toleransi bagi mengelak daripada kelumpuhan sistem kesihatan China.

Pihak berkuasa, yang kebanyakannya berjaya mengawal penularan wabak itu sejak dua tahun lalu, meningkatkan langkah memerangi pandemik termasuk sekatan pergerakan, ujian saringan besar-besaran dan mewujudkan pusat kuarantin baharu.

Antara bandar terbaru yang bertindak sedemikian termasuk Zhengzhou di wilayah Henan, yang sebelum ini memaklumkan akan menyaring semua 12.6 juta penduduknya selepas mengesan beberapa kes tidak bergejala.

Beijing memperketatkan saringan berkala bagi golongan pekerja dalam beberapa sektor utamanya, dan mewajibkan semua kakitangan agensi penjagaan warga emas, sekolah dan institusi pengurusan barangan import melaksanakan saringan sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Di daerah Shizong di wilayah Yunnan, premis perniagaan ditutup, pengangkutan digantung dan penduduk dilarang meninggalkan bandar atau kampung masing-masing.

Dijangkakan 23 bandar China sudah melaksanakan perintah berkurung penuh atau separuh minggu ini, yang membabitkan jumlah keseluruhan 193 juta penduduk yang menyumbang kepada 22 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China.

Related posts

Leave a Comment