Kelantan terendah kanak-kanak vaksin

TUMPAT 18 April – Kelantan antara negeri terendah suntikan dalam kalangan kanak-kanak berusia dari 5 hingga 11 tahun berikutan kurang mendapat sambutan daripada ibu bapa.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, sekitar 10.8 peratus suntikan dos pertama direkodkan dalam kalangan kanak kanak di Kelantan manakala sekitar 2.5 peratus bagi pengambilan suntikan kedua.

“Jadi angka ini agak rendah berbanding dengan populasi kanak-kanak yang ada di Kelantan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Bazar Ramadhan di Tumpat petang semalam.

Jelasnya, walaupun tidak banyak kes kemasukan ke hospital membabitkan kanak kanak dicatatkan, namun berlaku trend peningkatan jangkitan dalam kalangan golongan itu.

Situasi ini membimbangkan kerana kadar vaksinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) rendah, dan ada trend peningkatan jangkitan kes dalam kalangan kanak-kanak.

Zaini turut memaklumkan pengambilan dos penggalak dalam kalangan warga emas dan masyarakat Kelantan juga rendah.

Pihaknya bersama agensi berkaitan dan juga kerajaan negeri turut melaksanakan program kesedaran kepada golongan ibu bapa dan warga emas bagi meningkatkan tahap kesedaran.

Walaupun program ‘walk-in’ pengambilan dos penggalak yang diadakan di klinik terpilih dan Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) dilaksanakan, jumlah kehadiran masih lagi rendah setakat ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kesihatan Kelantan turut melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes Covid-19 pada sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kelantan susulan jangkaan kepulangan perantauan yang tinggi ke negeri ini.

Seperti jangkaan pihak berkuasa bakal berlaku pertambahan kenderaan dan pertambahan rakyat Kelantan yang bakal pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian.

“Jangkaan kita dua tahun tak balik kali ini berpusu-pusu perantau akan pulang, kita harapkan mereka kekal patuh prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19, walaupun kes rendah dengan dua angka di Kelantan beberapa minggu ini, namun kita bimbang dengan pertambahan dan pergerakan rakyat, “ katanya.

Related posts

Leave a Comment