KWSP : Semoga RM10,000 tidak tersasar

PUTRAJAYA 17 April – “Saya harap pengeluaran ini akan lebih menceriakan sambutan Aidilfitri  #KeluargaMalaysia, InsyaAllah,” itu mesej Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau mengumumkan bahawa wang pengeluaran khas caruman KWSP akan dikreditkan secara berperingkat mulai 18 April 2022 dan bukannya 20 April 2022 seperti yang diumumkan sebelum ini.

Melalui perkongsian di Facebooknya, beliau menjelaskan keputusan mengkreditkan bayaran itu lebih awal dibuat kerana ramai yang meminta ia dipercepatkan.

“Ramai yang message dan komen dalam social media saya, “YB, pengeluaran KWSP boleh cepat lagi tak?”

“Saya mendengar suara anda. Oleh itu, setelah berbincang dengan KWSP, sukacita dimaklumkan pengeluaran khas KWSP akan dikreditkan secara berperingkat mulai 18 April 2022 dan bukannya 20 April 2022,” katanya.

Pencarum KWSP yang memohon untuk pengeluaran khas caruman mereka tentunya menarik nafas lega apabila wang akan dikreditkan mulai esok.

Bagi yang telah memohon pada awal bulan April bolehlah mula menyemak akaun masing-masing esok. Kalau belum masuk lagi, jangan risau, kerana bayaran dibuat secara berperingkat.

Kepada pencarum, memandangkan wang tersebut diterima menjelang hari raya, diharapkan penggunaannya tidak tersasar atau lari daripada matlamat asalnya.

Permohonan untuk pengeluaran khas KWSP ini dibuka bermula pada 1 April lalu setelah kerajaan bersetuju untuk membenarkan pencarum berusia bawah 55 tahun mengeluarkan simpanan sehingga maksimum RM10,000.

KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan, pengeluaran khas ini merupakan yang terakhir akan dilakukan dan tidak ada lagi skim pengeluaran khas selepas ini.

Related posts

Leave a Comment