KWSP : 5.3 juta mohon, nilai RM40.1 bilion

KUALA LUMPUR 16 April – Sebanyak 5.3 juta permohonan untuk Pengeluaran Khas diterima oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak dibuka pada 1 April hingga Khamis lalu, yang membabitkan amaun pengeluaran berjumlah RM40.1 bilion.

KWSP dalam kenyataan hari ini, memaklumkan jumlah permohonan itu merangkumi 44 peratus daripada 11.95 juta ahli yang layak membuat pengeluaran dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat mulai 20 April ini.

Ia membabitkan 55 peratus ahli B40 yang layak (berpendapatan kurang daripada RM1,700); 59 peratus ahli M40 (RM1,701 – RM4,900), dan 39 peratus ahli T20 (berpendapatan melebihi RM4, 900) manakala sebanyak 29 peratus ahli tidak formal dan tidak aktif turut mengemukakan permohonan.

Kaum Bumiputera Melayu merangkumi jumlah pemohon tertinggi iaitu sebanyak 65 peratus, diikuti Cina (12 peratus), India (tujuh peratus) manakala 17 peratus lagi terdiri daripada Bumiputera Sabah dan Sarawak serta bukan warga negara.

Berdasarkan maklum balas daripada ahli yang memohon kemudahan ini, tiga sebab utama permohonan dibuat iaitu mengalami pengurangan pendapatan (24 peratus), membantu pasangan atau ahli keluarga yang terjejas kewangan (23 peratus, dan menambah sumber kewangan (14 peratus).

Manakala tujuan pengeluaran bagi menampung perbelanjaan keperluan asas harian dan bulanan (40 peratus), membayar tunggakan hutang (26 peratus), menambah simpanan dan dana kecemasan (8 peratus) dan membantu ahli keluarga yang terjejas kewangan (tujuh peratus).

Sebanyak 27 peratus lagi adalah untuk tujuan lain seperti membayar pendidikan anak-anak, perbelanjaan lain dan pelaburan.

Related posts

Leave a Comment