Kecam serangan ke atas Masjid Al-Aqsa

PUTRAJAYA 16 April –  Malaysia mengecam tindakan biadap Tentera Rejim Israel yang menyerang umat Islam Palestin termasuk anggota perubatan dan wartawan di Masjid Al-Aqsa pada Jumaat, kata Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata perbuatan keji serta tidak berperikemanusiaan itu amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku terutama pada Jumaat apatah lagi umat Islam Palestin sedang berpuasa serta menunaikan ibadah ketika Ramadan.

“Tindakan Tentera Rejim Israel yang turut menyasarkan wanita dalam serangan itu, satu tindakan yang kejam dan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin menegaskan bahawa Malaysia akan terus konsisten dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat Palestin.

Sekurang-kurangnya 153 rakyat Palestin cedera susulan pertempuran di antara tentera Israel dan rakyat Palestin apabila tentera menyerbu pekarangan masjid selepas solat Subuh pada Jumaat.

Lembaga Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin pula memaklumkan tentera Israel menahan 400 warga Palestin dalam serbuan itu.

Sementara itu di WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) menyuarakan kebimbangan berhubung keganasan di pekarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur serta menggesa semua pihak untuk berdamai.

“Kami menyeru semua pihak mengelakkan sebarang tindakan provokatif dan retorik serta mengekalkan status quo bersejarah di Haram al-Sharif.

“Kami menggesa tentera Israel dan pegawai Palestin bekerjasama meredakan ketegangan demi memastikan keselamatan semua pihak,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price dalam satu kenyataan.

Price berkata, agensi itu memantau rapat perkembangan semasa dan akan berhubung dengan pegawai tertinggi Israel dan Palestin untuk mencari jalan penyelesaian.

Di PAKISTAN, Kementerian Luar turut mengecam serangan Israel ke atas Masjid Al-Aqsa itu yang melanggar norma kemanusiaan dan undang-undang hak asasi manusia.

Pengerusi Senat Muhammad Sadiq Sanjrani berkata, kumpulan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harus memberi perhatian segera mengenai pencerobohan itu dan meminta tentera Israel bertanggungjawab terhadap keganasan yang tercetus.

“Keganasan yang berlaku di Masjid Al-Aqsa adalah satu perkara yang amat menyedihkan,” ciap Sanjrani di Twitter.

Sementara itu, bekas perdana menteri, Imran Khan berkata, serangan Israel ketika umat Islam sedang solat di tapak ketiga paling suci itu menyebabkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Related posts

Leave a Comment