KUCHING 18 Ogos – Tirai Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 bermula secara rasmi malam tadi dengan perasmian oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Stadium Sarawak.
Disaksikan lebih 40,000 penonton yang membanjiri pekarangan stadium sejak pukul 3 petang, penganjuran kali ini bertemakan Matlamat Perpaduan Membara iaitu menekankan kesepakatan dan masyarakat majmuk.
Upacara perasmian gilang gemilang itu disajikan dengan pelbagai persembahan termasuk tarian daripada pelbagai etnik dan barisan artis terkenal tanah air
selain pertunjukan cahaya.
Hadir sama bagi memeriahkan majlis adalah Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Fadillah.
Penonton dihiburkan dengan persembahan daripada antaranya Jaclyn Victor, Faizal Tahir, Marsha Milan dan Bob Yusof.
Penganjur turut menghimpunkan atlet terkemuka dari Bumi Kenyalang membabitkan legenda pecut Watson Nyambek, bekas perenang negara Daniel Bego dan juga barisan penerjun seperti Bryan Nickson Lomas, Traisy Vivien Tukiet, Pandelela Rinong dan Bertrand Rhodict Lises yang baru pulang dari Sukan Olimpik Paris 2024.
Pandelela dan peninju sensasi Sarawak Daeloniel McDelon Bong atau lebih dikenali sebagai ‘Kilat Boy’ diberikan penghormatan untuk membawa obor temasya dwitahunan itu.
Sarawak menganjurkan Sukma buat kali pertama pada 1990 manakala penganjuran terakhir lapan tahun lalu.
Sukma Sarawak dianjurkan di sembilan bahagian di Sarawak hingga 24 Ogos membabitkan 488 acara dalam 37 jenis sukan terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 wanita dan 35 acara campuran.
(Foto UKAS)
