Gesaan tumbangkan Netanyahu

TEL AVIV – Benjamin Netanyahu terus mendapat tekanan apabila ratusan rakyat Israel turun ke jalanan bagi mendesak pembangkang Israel bersekutu dengan parti mewakili masyarakat Arab demi menumbangkan Perdana Menteri itu.

Parti-parti majoriti Arab meraih peningkatan kerusi yang ketara dalam pilihan raya pada Selasa lalu, didorong oleh kemarahan terhadap retorik yang menyasarkan komuniti itu oleh kerajaan berhaluan kanan tegar pimpinan Netanyahu.

Bagaimanapun, ketua pembangkang, Gadi Eisenkot, masih belum membuat keputusan sama ada mahu membentuk gabungan bersama mereka atau sebaliknya.

Masyarakat Arab merangkumi kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan penduduk Israel.

Pilihan raya pada Selasa berakhir tanpa keputusan apabila tiada mana-mana gabungan berjaya memperoleh majoriti mudah di Parlimen Israel yang mempunyai 120 kerusi.

Parti-parti majoriti Yahudi yang menentang Netanyahu yang mesra dengan panggilan ‘Bibi’ memenangi 48 kerusi, manakala dua parti majoriti Arab, Raam dan Joint List, berjaya meraih gabungan 19 kerusi.

Kerjasama antara kedua-dua kem berkenaan berpotensi memberi blok anti-Netanyahu majoriti selesa dengan 67 kerusi.

Bagaimanapun , idea berkenaan berdepan tentangan daripada sesetengah parti dalam blok pembangkang itu sendiri.

Presiden Israel, Isaac Herzog, dijangka memberi mandat kepada seorang pemimpin parti untuk membentuk kerajaan dalam tempoh 28 hari menjelang Khamis ini, dengan kemungkinan lanjutan tempoh selama 14 hari lagi.

Related posts

Leave a Comment