Politik ‘bukan setakat satu individu’

SINGAPURA 16 April – Kepemimpinan politik ‘bukan setakat satu individu sahaja’ sebaliknya sebagai sebuah pasukan yang kuat dan bersatu padu, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong.

“Kita boleh mengatasi semua cabaran ini hanya sebagai sebuah pasukan yang kuat dan bersatu padu dengan matlamat untuk berkhidmat kepada Singapura dan rakyatnya,” kata Wong pada satu sidang media di sini.

Ini sidang media pertamanya sejak dipilih dan diumumkan sebagai ketua pasukan pemimpin generasi keempat (4G) Parti Tindakan Rakyat (PAP) – yang sekali gus membuka laluan untuk beliau menjadi Perdana Menteri seterusnya

Menurut Wong, Singapura berdepan banyak cabaran pada masa akan datang yang memerlukan sebuah pasukan bagi mengatasinya.

“Dan atas sebab itulah saya menghargai sumbangan daripada semua orang dalam pasukan ini, termasuk pasukan aktivis parti lebih luas yang sentiasa bekerja keras dan berdedikasi,” katanya.

Wong, 49 turut mendedahkan bahawa ketika para pemimpin politik berkerjasama untuk melawan Covid-19 sepanjang tempoh dua tahun lalu, kerjasama mereka “semakin kukuh dan padu sebagai sebuah pasukan”.

“Saya percaya kami juga sudah memperkukuh hubungan kami dengan rakyat Singapura, mengharungi krisis segenerasi ini, dan hubungan dalam kalangan rakyat Singapura juga diperkukuh melalui krisis ini,” katanya.

Menurut Wong, dalam sesetengah masyarakat, krisis ini menghakis modal sosial mereka dan melemahkan keyakinan politik.

“Di Singapura, saya rasa kita menangani krisis ini dalam cara yang memperkukuh hubungan tersebut dan juga kepercayaan politik dan saya amat menghargainya.”, kata Wong yang akan mengambil alih jawatan apabila Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung PAP Lee Hsien Loong melepaskan jawatan tersebut.

Mengenai pasukan 4G sekarang, Wong menghargai kerencaman dalam pasukan tersebut, dengan sebahagian AP datang daripada latar belakang perkhidmatan awam dan sebahagian yang lain dari sektor swasta.

“Kami sudah lebih mengetahui kekuatan satu sama lain, semakin berkeyakinan dan percaya satu sama lain serta lebih memahami bagaimana kami boleh saling melengkapi.

“Sebagai ketua pasukan, saya akan melakukan yang terbaik bagi memastikan sumbangan daripada seluruh pasukan adalah lebih besar daripada jumlah sumbangan individu,” kata Wong.

Related posts

Leave a Comment